ARTIKEL

Abdul Karim menunjukkan dokumen penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini. | Foto: UKAS

Empat lokasi ekopelancongan Sarawak bakal dinaik taraf


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak akan meneruskan kerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan bagi mempercepat pembangunan sektor pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan di negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerjasama itu melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia serta Jabatan Warisan Negara.

Menurutnya, MOTAC meluluskan cadangan menaik taraf infrastruktur ekopelancongan di empat lokasi, iaitu Taman Negara Santubong, Taman Negara Similajau, Taman Negara Kubah dan Pusat Hidupan Liar Matang.

“Inisiatif ini dijangka memudahkan akses pengunjung ke kawasan pelancongan berkenaan, selain menambah baik pengalaman pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.5 juta pada tahun ini menerusi Program Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) bagi melaksanakan lima projek menaik taraf infrastruktur pelancongan di Sarawak.

Jelasnya, projek berkenaan melibatkan Taman Negara Maludam, Taman Awam Miri, inap desa Patrick Libau di Niah, Air Terjun Melasak di Lawas dan Kampung Budaya Sarawak di Kuching.

Sehubungan itu, Program Inap Desa di bawah seliaan MOTAC menjana pendapatan sebanyak RM7.65 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, meningkat 35 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.

“Peningkatan itu turut disokong oleh pertambahan jumlah pengunjung kepada 55,725 orang, iaitu meningkat 42.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” jelasnya lagi,” katanya lagi.

Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak terus memainkan peranan aktif sebagai rakan strategik kementerian dalam memajukan industri kraf tangan negeri.

Tambah Karim, bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, cawangan berkenaan merekodkan jumlah jualan sebanyak RM17.8 juta.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU