ARTIKEL

Abdul Karim menunjukkan dokumen penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini. | Foto: Ramidi Subari

Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku tarik penyertaan 31 negara


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan untuk kediaman jangka panjang menerusi Program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (SMM2H) yang menarik penyertaan dari 31 negara setakat September 2026.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, terdapat 287 permohonan program diluluskan, melibatkan 490 peserta dari negara berkenaan.

Katanya, China kekal sebagai penyumbang tertinggi dengan 118 permohonan diluluskan, bersamaan 41.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kelulusan, diikuti Amerika Syarikat (28), Taiwan (19), United Kingdom (18), Australia (13), Kanada (13), Singapura dan Jepun (12), Hong Kong (sembilan) serta Korea Selatan (tujuh).

“Sehingga September tahun ini juga, permohonan yang diluluskan menghasilkan kutipan deposit tetap (FD) berjumlah RM143.5 juta serta yuran pemprosesan sebanyak RM1.49 juta.

“Kutipan ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding kutipan deposit tetap dan yuran pemprosesan sepanjang 2025, masing-masing berjumlah RM146.9 juta dan RM1.04 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Abdul Karim menambah, kementeriannya kekal komited untuk memperkukuh pelaksanaan SMM2H sebagai sebahagian daripada strategi meningkatkan ketibaan pengunjung dan menjana nilai ekonomi yang lebih besar.

“Program ini membolehkan kita meletakkan Sarawak sebagai destinasi pilihan untuk kediaman jangka panjang dengan menawarkan bukan sahaja pengalaman pelancongan yang unik, malah kualiti hidup yang tinggi, kepelbagaian budaya dan persekitaran yang mesra,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kementeriannya juga terus mempergiat usaha promosi antarabangsa, termasuk penyertaan dalam Pameran Pelancongan Antarabangsa Seoul (STIF) dan Persidangan Industri Pelancongan Dunia (WTIC) di Korea Selatan dari 4 hingga 6 Jun lalu.

Menurutnya, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, telah menerima anugerah STIF Eminent Tourism Pioneers Awards sebagai pengiktirafan ke atas sumbangan cemerlang beliau dalam pembangunan dan promosi pelancongan global.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU