ARTIKEL

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19. | Foto: UKAS

Brunei, Indonesia sumbang 46.5 peratus ketibaan pelawat ke Sarawak


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Brunei dan Indonesia terus menjadi pasaran utama pelancongan Sarawak dengan menyumbang 46.5 peratus daripada jumlah ketibaan pelawat ke negeri ini bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kedua-dua negara itu kekal sebagai penyumbang penting kepada industri pelancongan Sarawak, selain Singapura, Filipina dan Thailand.

“Sarawak merekodkan 3.52 juta ketibaan pelawat dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sekali gus menunjukkan perkembangan berterusan sektor berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Sarawak menjana hasil pelancongan sebanyak RM12.67 bilion pada 2025, meningkat 1.75 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, Sarawak menjana hasil pelancongan sebanyak RM9 bilion, dengan purata lebih RM1 bilion sebulan,” katanya.

Mengulas lanjut, di peringkat nasional, Malaysia merekodkan 28.76 juta ketibaan pelawat antarabangsa dari Januari hingga Ogos tahun ini, meningkat 1.8 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.

Manakala, unjuran Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) turut menunjukkan ketibaan pelawat antarabangsa ke rantau Asia Pasifik dijangka mencecah 758.8 juta pada 2027 dan 789.2 juta pada 2028.

“Di peringkat global, industri pelancongan terus bergerak ke arah model pembangunan yang lebih mampan dan berdaya tahan, selaras dengan usaha menangani perubahan iklim, melindungi biodiversiti serta memastikan manfaat ekonomi pelancongan turut dinikmati masyarakat setempat.

“Perkembangan itu dijangka meningkatkan keperluan kepada infrastruktur pelancongan yang berdaya tahan, perjalanan rentas sempadan yang lancar serta pengurusan destinasi yang mampu menangani tekanan ekonomi dan pelancongan berlebihan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kelulusan belanjawan kepada kementeriannya berjumlah RM103.7 juta untuk pembangunan dan RM186 juta bagi pengoperasian dan geran pada tahun hadapan.

“Melalui belanjawan ini, kementerian akan terus
melaksanakan pelbagai projek, program dan inisiatif untuk memangkin industri pelancongan dan terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU