KOTA SAMARAHAN: Perlawanan separuh akhir pertama kempen Piala Premier Sarawak 2026 membabitkan dua finalis musim lepas, Samarahan dan Bintulu pada Sabtu ini (24 Oktober) akan berlangsung di Kompleks Sukan Asajaya.
Sepak mula perlawanan yang disifatkan peminat sebagai aksi final ulangan itu bermula pukul 3 petang.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Mohd. Azri Johari menyeru kehadiran peminat ke Kompleks Sukan Asajaya Sabtu ini.

“Perlawanan separuh akhir pertama menentang Bintulu Sabtu ini akan berlangsung di Kompleks Sukan Asajaya.
“Kita menyeru warga Samarahan datang beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada pemain kita kelak,” ujar Azri kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Azri, sokongan peminat diperlukan Sabtu nanti sebagai cetusan semangat kepada para pemain.
Katanya, suasana yang gegak-gempita Sabtu nanti pastinya menghadir tekanan kepada pasukan lawan.
Ia sekali gus berperanan menjadi penyumbang ke arah misi utama Samarahan untuk mencetak kemenangan diinginkan.
Beliau menjelaskan, misi serampang dua mata menjadi fokus utama pasukannya pada perlawanan tersebut.
“Kita turun mahu memastikan kemenangan, pada masa sama cuba untuk beroleh lebihan jaringan sebagai bekalan untuk aksi timbal balik di Bintulu pada 31 Oktober nanti,” tambah Azri.
Samarahan mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan Limbang dengan agregat (6-2).





