KUCHING: Wakil tunggal Sarawak, Red Deer Petra Jaya FC (RDPJ FC) memerlukan sokongan penaja bagi menampung kos penyertaan ke Grand Final Piala Cahya Mata 2026 di Negeri Sembilan, ketika pasukan itu memasang impian membawa pulang kejuaraan berserta hadiah utama RM100,000.
Kejohanan peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung pada 5 hingga 7 November ini di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bakal menghimpunkan lapan pasukan juara negeri bagi merebut gelaran keseluruhan.
Pengurus pasukan RDPJ FC, Izwandie Razali berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan kewangan daripada individu, syarikat korporat dan badan swasta bagi memastikan segala keperluan pemain dapat diuruskan sepanjang kejohanan.


Menurutnya, bantuan berkenaan penting untuk menampung perbelanjaan pengangkutan, penginapan, makan minum serta keperluan perubatan pemain sepanjang berada di Negeri Sembilan.
“Sebagai pasukan yang membawa cabaran Sarawak, sudah tentu kami mahu memberikan persembahan terbaik.
Namun, sokongan kewangan amat penting bagi memastikan persiapan dan kebajikan pemain dapat diuruskan dengan sempurna,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.


Individu atau pihak korporat yang berminat menghulurkan tajaan boleh menghubungi Izwandie di talian 018-979 9629 bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Izwandie berkata, sokongan penaja bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan pasukan, malah menjadi dorongan tambahan kepada pemain yang bakal berdepan cabaran sengit daripada juara negeri lain.
RDPJ sebelum ini muncul juara Piala Cahya Mata peringkat Sarawak selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Gabungan Tentera Darat FC (GTD FC) 3-2 dalam aksi final dramatik di Padang Sekolah Sukan Tabuan pada 27 September lalu.



