KUCHING: Dua jaringan pantas Willie Meling memastikan Siburan United merangkul gelaran juara Pertandingan Bola Sepak Sembilan Sebelah Piala Datuk Willie Mongin 2026 selepas menewaskan W.A United 2-0 pada aksi final di Padang Bola Sepak Kampung Sikog, Padawan, kelmarin.
Willie menjadi wira kemenangan apabila meledak kedua-dua jaringan pada minit ke-10 dan ke-16, sekali gus menghadiahkan kejuaraan kepada pasukan yang berpangkalan di Siburan itu.

Pengurus Siburan United, Melva Molad berkata, kejayaan itu merupakan hasil persiapan awal, pengalaman pemain serta keserasian pasukan yang dibina menerusi perlawanan persahabatan secara konsisten.
“Pemain berada pada tahap terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.

Persiapan awal dan penggunaan pemain berpengalaman menjadi antara faktor penting kejayaan kami.
“Kami juga kerap mengadakan perlawanan persahabatan di Kampung Sinjok yang banyak membantu meningkatkan keserasian serta persefahaman antara pemain,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.
Menurut Melva, kejayaan itu lebih bermakna apabila Siburan United berjaya mengharungi beberapa perlawanan sengit sejak kejohanan membuka tirai pada 9 Ogos lalu.
Melva berkata, pihak pengurusan kini merancang memperkukuh pasukan dengan membawa masuk beberapa pemain muda sebagai persediaan menghadapi pertandingan sekitar Padawan dan Serian.
“Selain itu, kami turut melihat peluang untuk menyertai kejohanan di Samarahan dan Kuching bagi memberikan lebih banyak pendedahan serta pengalaman kepada pemain,” katanya.
Kemenangan berkenaan membolehkan Siburan United membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200 berserta piala dan pingat selepas mengungguli saingan kategori terbuka lelaki yang disertai 32 pasukan.
Kecemerlangan pasukan turut menyaksikan Willie dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan, manakala rakan sepasukannya, Florian Risok Laes menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM100.
Sementara itu, W.A United selaku naib juara menerima wang tunai RM800 berserta piala dan pingat, manakala pasukan di tempat ketiga membawa pulang RM500 bersama piala dan pingat.
Kejohanan berformat kalah mati itu dianjurkan bersama Biro Belia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sikog sebagai platform menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sukan bola sepak.





