KUCHING: Sibu bakal menjadi bandar seterusnya menerima pemodenan sistem pengangkutan awam di Sarawak menerusi Perkhidmatan Bas Pintar Baharu yang dijangka beroperasi pada suku pertama 2027.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata inisiatif itu melibatkan 13 unit bas elektrik pintar baharu yang menawarkan perkhidmatan bas henti-henti percuma kepada penduduk.
Katanya, perkhidmatan berkenaan akan meliputi kawasan bandar Sibu, termasuk Sibujaya, Kemuyang, Ulu Sungai Merah, Rantau Panjang serta Lanang Hilir dan Lanang Hulu.
“Berlandaskan momentum dan pelbagai usaha penambahbaikan yang dilaksanakan, Sibu akan menjadi bandar seterusnya yang menerima pemodenan sistem pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Terdahulu, ketika mengulas perkembangan perkhidmatan bas pintar di Miri, Lee berkata 14 unit bas di bawah Perkhidmatan Bas Pintar Baharu yang beroperasi sejak dua tahun lalu terus menyediakan perkhidmatan kepada pengguna menerusi lapan laluan.
Katanya, perkhidmatan itu menyediakan pilihan pengangkutan awam yang moden, mudah diakses dan boleh dipercayai kepada masyarakat.
“Melalui Aplikasi Pengangkutan Pintar Sarawak (SSTA), pengguna dapat menjejaki kedudukan bas secara masa nyata.
“Data operasi yang dijana turut membantu kementerian memahami corak perjalanan pengguna dengan lebih baik, sekali gus membolehkan perancangan laluan dan jadual perkhidmatan ditambah baik secara berterusan,” ujarnya.
Berdasarkan data sehingga September 2026, perkhidmatan bas pintar di Miri merekodkan lebih 1.82 juta penumpang, dengan purata 83,075 penumpang sebulan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Lee menambah, pencapaian itu kejayaan penting yang mencerminkan peningkatan keyakinan dan penerimaan masyarakat Miri terhadap pengangkutan awam.
Mengenai Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) di Kuching yang turut dikenali sebagai BAS.MY, beliau memberitahu bahawa ia inisiatif Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan dengan kerjasama kementeriannya.
“Sejak dilancarkan pada Mac 2025, BAS.MY Kuching mengendalikan 56 bas baharu menerusi 13 laluan, dengan jumlah penumpang melebihi 1.29 juta orang sehingga September 2026.
“Perkhidmatan itu turut merekodkan purata 82,204 penumpang sebulan sepanjang 2026, sekali gus memperlihatkan peranan pengangkutan awam dalam memenuhi keperluan mobiliti masyarakat bandar,” katanya.




