BINTANGOR: Seorang lelaki maut selepas tercampak dan ditemukan di dalam parit akibat kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori tangki di Jalan Bintangor–Tanjung Manis, di sini, kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Mangsa, Lee Jing Fook, 43, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pembantu Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Tanjung Manis.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Tanseli Mering berkata, nahas pada 19 Oktober itu membabitkan sebuah Perodua Kenari dan sebuah lori tangki jenis Isuzu.

“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari Tanjung Manis menghala ke Sibu dipercayai memasuki laluan bertentangan.
“Kenderaan itu kemudian bertembung dengan lori tangki yang sedang bergerak dari Bintangor menuju ke Tanjung Manis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan menghala ke Sibu, manakala mangsa ditemukan di dalam parit berhampiran lokasi kejadian.
Sementara itu, pemandu lori berusia 51 tahun cedera sebelum dihantar menggunakan ambulans ke Klinik Kesihatan Tanjung Manis untuk mendapatkan rawatan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei bagi tujuan bedah siasat. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.





