KUCHING: Projek naik taraf Lapangan Terbang Miri yang diluluskan dengan siling peruntukan RM445 juta bakal menggandakan kapasiti pengendalian penumpang kepada empat juta orang setahun, berbanding dua juta sekarang.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata, kementeriannya terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan berjalan lancar.
Menurutnya, hasil libat urus berterusan, siling peruntukan sebanyak RM445 juta diluluskan bagi membolehkan projek naik taraf itu dilaksanakan.
“Projek ini akan meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang lapangan terbang daripada dua juta kepada empat juta orang setahun, selain menambah baik kemudahan keseluruhan serta keupayaan operasinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini hari ini.
Lee berkata, JKR Malaysia selaku agensi pelaksana dijangka menerapkan identiti budaya unik Sarawak serta kekayaan warisan etnik negeri ini dalam reka bentuk lapangan terbang berkenaan.
Katanya, pendekatan itu dilaksanakan dengan memastikan reka bentuk tersebut memenuhi piawaian moden serta keperluan operasi sebuah lapangan terbang.
“Proses Kejuruteraan Nilai (VE) telah selesai pada Ogos lalu, manakala proses tender kini sedang berlangsung.
“Kerja pembinaan disasarkan bermula pada suku kedua 2027 dan dijangka siap menjelang 2030,” ujarnya.
Beliau berkata, apabila siap kelak, Lapangan Terbang Miri akan terus memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk utara Sarawak, di samping meningkatkan jaringan perhubungan udara bagi menyokong pertumbuhan penumpang dan pembangunan ekonomi serantau.
Sementara itu, berhubung cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu di Tanjung Embang, Lee berkata, permohonan pembangunan lapangan terbang berkenaan dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia pada Mei lalu bagi mendapatkan kelulusan selaras dengan peruntukan berkaitan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek naik taraf Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Banga dan Ba’kelalan bagi tahun 2027 di bawah Dana Pembangunan Lapangan Terbang.




