KUCHING: Seramai 43,533 rakyat Sarawak mendapat manfaat daripada Program Bantuan Lesen Memandu (BLM/MyLesen) Kelas B2 sejak diperkenalkan pada 2024, sekali gus membantu golongan sasaran mendapatkan lesen motosikal dengan kos lebih rendah.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, menerusi program itu, peserta hanya perlu membayar RM250 berbanding kadar biasa RM750.
“Inisiatif ini dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama kementeriannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen bagi meringankan beban kewangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Menurut Lee, program itu terbuka kepada warganegara Malaysia yang layak, berusia 16 tahun ke atas dan belum memiliki lesen memandu.
Bagaimanapun, beliau berkata, peserta tetap diwajibkan menjalani latihan serta penilaian yang ditetapkan JPJ bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran menunggang yang baik, berdisiplin dan mengutamakan keselamatan jalan raya.
“Bagi 2026, sebanyak 29 program disasarkan untuk dilaksanakan di Bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri menerusi kerjasama JPJ Sarawak bersama ADUN dan Ahli Parlimen.
“Setakat ini, 15 program berjaya dilaksanakan, manakala program selebihnya sedang berjalan dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang Disember tahun ini,” ujarnya.
Selain itu, Lee berkata, program bagi kawasan Parlimen P.197 Kota Samarahan dijangka selesai pada November 2026.
“Justeru, orang ramai yang berminat boleh mengemukakan permohonan menerusi ADUN atau Ahli Parlimen di kawasan masing-masing,” tambahnya.
Beliau juga berharap kerjasama antara JPJ, kementeriannya serta wakil rakyat dapat diteruskan bagi memperluas manfaat program itu, khususnya kepada golongan yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan lesen motosikal pada kadar yang berpatutan.



