ARTIKEL

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai. | Foto: Ramidi Subari

Tiga kapal peronda Kelas Beting perkukuh keselamatan maritim Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) memperoleh tiga kapal peronda baharu Kelas Beting sepanjang 40 meter bagi meningkatkan keupayaan operasinya.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai berkata, kapal berkenaan direka untuk beroperasi dalam keadaan laut bergelora serta dilengkapi sistem navigasi dan komunikasi canggih, selain akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Kapal berkenaan mempunyai keupayaan operasi lebih lama bagi memperkukuh keselamatan maritim serta meningkatkan pemantauan dan rondaan di seluruh perairan Sarawak.

“Selain itu, kapal berkenaan turut menyokong usaha pemuliharaan lapan Taman Negara Marin Sarawak, termasuk Taman Negara Marin Luconia Shoals,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, John Sikie berkata, pengawal pantai negeri kini mengendalikan 12 kapal daripada pelbagai kelas.

“Selaras dengan aspirasi Sarawak untuk memajukan ekonomi biru, kita turut beralih kepada penggunaan teknologi maritim canggih bagi meningkatkan kesedaran domain maritim, kecekapan operasi, pengumpulan risikan dan keupayaan bertindak balas dengan pantas,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sejak 2026, sebanyak 122 operasi dilaksanakan, merangkumi misi mencari dan menyelamat (SAR), latihan mencari dan menyelamat (SAREX), rondaan penguatkuasaan, rondaan malam, operasi bersepadu serta kawalan keselamatan acara air.

Operasi itu turut melibatkan pemeriksaan terhadap 77 kapal dan 36 sangkar ikan, melibatkan 327 individu.

“Dari segi penguatkuasaan, pengawal pantai negeri telah melaksanakan sembilan tindakan, termasuk dua kes tangkapan, pengeluaran satu saman dan penyerahan enam laporan kepada agensi berkaitan.

“Selain itu, sebanyak 174 aktiviti pendidikan, program mendekati komuniti dan sesi khidmat nasihat telah dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak,” katanya.

Setakat September 2026, aktiviti libat urus bersama pelajar sekolah dan komuniti nelayan meningkat kepada 261 aktiviti berbanding 161 aktiviti pada 2025.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU