ARTIKEL

Lee menunjukkan teks ucapan penggulungan kementeriannya. | Foto: RAMIDI SUBARI

Punca nahas helikopter Long Lellang belum dipastikan – Lee

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Punca nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang pada 8 September lalu masih belum dipastikan kerana siasatan keselamatan dan pemeriksaan teknikal lanjut sedang dijalankan.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, laporan awal insiden membabitkan helikopter Layang-Layang Aerospace, 9M-LLF, telah diterbitkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) pada 16 Oktober lalu.

“Laporan tersebut turut dibentangkan kepada Jemaah Menteri Persekutuan oleh Menteri Pengangkutan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Kata Lee, siasatan masih diteruskan dengan pemeriksaan teknikal dan analisis bukti bagi mengenal pasti keadaan serta faktor yang mungkin menyumbang kepada kejadian berkenaan.

“Punca kemalangan masih belum ditentukan dan laporan akhir dijangka disiapkan dalam tempoh satu tahun dari tarikh kejadian,” jelasnya.

Nahas itu mengorbankan lima individu, iaitu seorang juruterbang dan empat petugas perubatan yang bertugas menyampaikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman dan terpencil.

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; Pegawai Perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Dalam pada itu, Lee berkata, tragedi itu amat menyedihkan rakyat Sarawak, terutama kerana mangsa terlibat dalam usaha menyediakan perkhidmatan perubatan penting kepada komuniti yang sukar mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Bagi pihak kementeriannya, beliau turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi berkenaan.

Beliau turut menghargai bantuan serta sokongan semua agensi penyelamat dan pihak berkaitan yang terlibat dalam operasi susulan nahas itu.

“Siasatan yang sedang berjalan dijangka memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan kejadian dan faktor yang berkaitan, sebelum penemuan muktamad dimuktamadkan melalui laporan akhir,” ujarnya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU