KUCHING: Sebanyak 215 pengecas kenderaan elektrik (EV), merangkumi pengecas arus ulang-alik (AC) dan arus terus (DC), telah dipasang di seluruh Sarawak setakat September 2026.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, peluasan kemudahan pengecasan itu akan membantu meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan bagi pengguna EV.
“Peningkatan penggunaan EV sekali gus menyokong aspirasi lebih luas Sarawak ke arah sektor pengangkutan rendah karbon serta peralihan Malaysia kepada mobiliti mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak ke-19 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata penggunaan EV di Sarawak berkembang secara berperingkat, mencerminkan peningkatan minat orang ramai terhadap mobiliti mampan.
Menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), daripada 56,452 kereta yang didaftarkan di Sarawak antara 2021 hingga 2026, sebanyak 1,334 ialah kenderaan EV.
Jumlah itu mewakili sekitar 2.36 peratus daripada keseluruhan pendaftaran kereta, iaitu nisbah satu kereta elektrik bagi setiap 42 kereta yang didaftarkan.
“Sarawak secara berperingkat menerima penggunaan pengangkutan yang lebih bersih, disokong oleh inisiatif kerajaan, peningkatan ketersediaan model EV serta peluasan infrastruktur pengecasan,” katanya.



