PADAWAN: Cubaan dua lelaki meloloskan diri daripada polis gagal apabila kedua-duanya berjaya diberkas selepas berlaku aksi pengejaran dan pergelutan di Lorong Harmoni 3, Taman Sri Harmony, Matang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Pemangku Superintenden Barry William berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 43 tahun itu ditahan kira-kira 12.30 tengah malam oleh sepasukan anggota Pasukan Petugas Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki yang berada di dalam sebuah Perodua Kancil berwarna putih bertindak melarikan diri ketika pasukan berkenaan menjalankan operasi di lokasi tersebut.
“Tindakan suspek mencetuskan aksi pengejaran sebelum berlaku pergelutan ketika anggota polis berusaha memberkas mereka. Bagaimanapun, kedua-duanya berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kota Sentosa untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Barry menambah, pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan membawa kepada penemuan pelbagai peralatan, termasuk bicu kereta, tukul besi, tukul getah, gunting besi, pembuka tayar, multimeter digital serta beberapa bilah pisau.
Polis katanya turut merampas Perodua Kancil berkenaan bersama dengan anak kunci kenderaan, pisau kerambit dan topeng muka bagi membantu siasatan.
“Susulan penemuan barangan tersebut, polis turut menyiasat kemungkinan pelibatan kedua-dua lelaki berkenaan dalam kes kecurian rim kereta dan kabel.
“Siasatan awal juga membawa kepada usaha mengesan dua lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang disiasat.
“Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ugutan jenayah,” jelasnya.
Beliau menambah, kedua-duanya kini ditahan di lokap Balai Polis Beratok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427, Seksyen 457 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Polis katanya akan meneruskan siasatan, termasuk mengesan dua lagi individu yang masih bebas bagi membantu siasatan kes berkenaan.





