ARTIKEL

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19. | Foto: JAPEN

Sarawak catat 1,727 usahawan kraf berdaftar setakat September 2026


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Majlis Kraf Sarawak (SCC) merekodkan peningkatan jumlah usahawan kraf berdaftar kepada 1,727 orang setakat September 2026, berbanding 1,503 orang pada tahun lepas.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berterusan berbanding 1,161 usahawan yang berdaftar pada 2021.

“Rekod pendaftaran ini perlu dilaksanakan bagi membolehkan SCC mengenal pasti dan menyelenggara rekod pengamal kraf, artisan, pereka serta usahawan di seluruh negeri.

“Penggiat kraf bukan sahaja berperanan menghasilkan produk, malah menjadi pemelihara warisan budaya Sarawak, penyumbang kepada ekonomi kreatif serta rakan penting dalam membangunkan industri kraf yang mampan dan berdaya saing.

“Usaha ini sekali gus mencerminkan perkembangan pangkalan penggiat industri kraf di Sarawak,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Tambahnya, SCC melaksanakan 27 inisiatif pemasaran pada 2025 yang melibatkan 349 usahawan, manakala 26 inisiatif pemasaran dan promosi dianjurkan pada 2026 dengan penyertaan 249 usahawan kraf bagi memperluas peluang pasaran.

SCC turut memperkukuh promosi kraf tempatan menerusi penyertaan dalam pameran antarabangsa, termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Pameran Kraf Antarabangsa Malaysia (MICF), Paris Biennale Révélations, Pameran Perdagangan Kraf Antarabangsa Jakarta (INACRAFT) di Indonesia dan Homo Faber Biennale 2026 di Venice.

Selain itu, sebanyak 49 inisiatif pembangunan komuniti kraf dilaksanakan pada 2025 dengan penyertaan 733 peserta, manakala 41 program pembangunan kapasiti melibatkan 724 peserta dilaksanakan setakat September 2026.

“SCC meneruskan usaha memelihara pengetahuan kraf tradisional melalui pendokumentasian digital proses pembuatan Gendang Melayu Asli dan sulaman keringkam.

“Selain itu, turut menganjurkan program bagi meningkatkan kesedaran produk kraf tempatan serta menghidupkan semula industri seramik dan tembikar,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim memberitahu SCC merupakan antara beberapa agensi di Sarawak yang dikenal pasti oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan program pembangunan kapasiti berasaskan komuniti di bawah Program Khas Bumiputera (PKB).

“Pada tahun ini, program pembangunan kapasiti dilaksanakan di lima lokasi, iaitu Long Seridan; Ulu Tutoh, Baram; Uma Juman, Sungai Asap; Rumah Roseana Ak. Anggat, Sibu; dan Kuala Medalam, Nanga Medamit, Limbang, melibatkan 100 peserta,” katanya.

Mengulas lanjut, SCC berperanan sebagai agensi utama yang bertanggungjawab mengawal selia dan membangunkan industri kraf Sarawak diperkukuh menerusi Ordinan Majlis Kraf Sarawak 2023 yang berkuat kuasa pada 1 Mei 2025.

“Ordinan itu menyediakan asas tadbir urus dan pengurusan yang lebih jelas, selain memperkemas penyelarasan pembangunan kraf serta kerjasama dengan agensi kerajaan, pemain industri dan rakan sektor swasta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamah Ngot Bi – tokoh yang disegani dalam memelihara warisan tradisional anyaman tikar bergerang, meninggal dunia pada 7 September 2026 pada usia 94 tahun.

“Sebagai pengiktirafan, Allahyarhamah menerima Anugerah Kecemerlangan UNESCO bagi Produk Kraf di Asia Tenggara pada 2005 dan dilantik sebagai Adiguru Kraf Anyaman Bergerang oleh Kraftangan Malaysia pada 2014.

“Sumbangan besar beliau turut mendapat pengiktirafan pada Anugerah Hasanah Gold Threads 2024 apabila beliau menerima Anugerah Emas Hasanah bagi Pencapaian Sepanjang Hayat dan Anugerah Anyaman Tradisional,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU