DARO: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Daro menziarahi lima keluarga asnaf di sekitar daerah itu menerusi Program Baitulmal Sinergi 2026 bagi mengenal pasti keperluan mereka serta memperkukuh usaha menjaga kebajikan golongan berkenaan.
Pemangku Ketua Bahagian TBS Cawangan Daro, Izzat Hanif Dollah berkata, Program ini turut melibatkan aktiviti gotong-royong dan taklimat peranan Baitulmal dengan penyertaan 16 institusi sebagai usaha mempererat kerjasama antara agensi kerajaan, institusi dan komuniti setempat.

“Saya berharap kerjasama yang terjalin ini dapat terus diperkukuh bagi melaksanakan lebih banyak inisiatif berimpak tinggi untuk membantu golongan asnaf,” katanya semasa program tersebut, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, katanya, ziarah berkenaan bertujuan mendekati golongan asnaf dengan lebih dekat dan memahami keperluan mereka.

Pada masa sama, ia juga adalah untuk memupuk keprihatinan masyarakat dengan kebajikan keluarga yang memerlukan bantuan.
Selain itu, program berkenaan turut menyaksikan aktiviti gotong-royong di kediaman Rosmahwati di Kampung Badong dengan pelibatan ahli Rakan Sinergi Baitulmal serta penyumbang luar.

Usaha itu mencerminkan komitmen TBS bersama-sama rakan strategik untuk membantu meringankan beban keluarga asnaf melalui sumbangan tenaga dan sumber yang diperlukan.
Program berkenaan turut diisi dengan Taklimat Kenali Baitulmal di Surau Darul Ihsan, Kampung Badong yang disampaikan Ketua Bahagian TBS Cawangan Mukah, Osman Immun.
Taklimat itu memberi penerangan fungsi dan peranan Baitulmal, termasuk urusan kutipan, agihan serta penyampaian bantuan kepada golongan yang layak.
“Program Baitulmal Sinergi 2026 ini menjadi wadah untuk memperkukuh hubungan antara TBS, rakan institusi dan komuniti setempat, selain menggalakkan kerjasama berterusan dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela.
“Kami di TBS Cawangan Daro berharap agar jaringan kerjasama itu dapat dikembangkan bagi memperluas usaha membantu golongan yang memerlukan, selaras dengan moto ‘Bersama Memberi Kesejahteraan’,” ujarnya.





