ARTIKEL

Sarawak rancang Pembangunan Kompleks Sukan menerusi kerjasama strategik


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merancang untuk membangunkan kompleks sukan di seluruh Sarawak dengan kerjasama rakan strategik dan agensi pembangunan wilayah negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha tersebut juga akan dilaksanakan menerusi inisiatif “Satu Daerah, Satu Kompleks Sukan”.

“Apabila siap kelak, kira-kira 89 peratus daerah di Sarawak akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kompleks sukan menerusi inisiatif “Satu Daerah, Satu Kompleks Sukan”.

“Kementerian saya, dengan kerjasama rakan strategik termasuk agensi pembangunan wilayah seperti Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dan Agensi Pembangunan Bersepadu Greater Kuching (GKCDA), merancang untuk membangunkan kompleks sukan di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menambah, sebanyak 11 projek menaik taraf kemudahan sukan bagi Sukan SEA menunjukkan perkembangan positif.

Kata beliau, lapan daripadanya mendahului jadual dan dijangka siap pada suku pertama serta kedua 2027.

“Stadium Sarawak, yang bakal menjadi lokasi majlis pembukaan temasya itu, dijangka siap pada Januari 2027,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, di bawah projek Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kementeriannya juga dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan 40 projek yang merangkumi 16 kemudahan sukan baharu, 19 projek menaik taraf kemudahan sukan dan sosial serta lima projek bukan fizikal.

“Daripada jumlah itu, 18 projek akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), 12 oleh Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), tujuh oleh pihak berkuasa tempatan, manakala baki tiga projek bukan fizikal akan dilaksanakan oleh kementerian saya.

“Sehingga September 2026, sebanyak 19 projek (47.5 peratus) berada pada pelbagai peringkat perancangan, 18 projek (45 peratus) sedang dalam pembinaan dan tiga projek (7.5 peratus) telah siap sepenuhnya,” jelas beliau.

Sementara itu, beliau memaklumkan, Arena Sukan Bau siap pada Ogos lalu dan sedia dibuka kepada orang ramai, manakala Fasa 1 naik taraf Stadium Taha Ariffin turut siap dan sedia menjadi tuan rumah perlawanan Liga Juara-Juara AFC Dua peringkat antarabangsa tahun ini.

Dalam hal berkaitan, kerja penggantian bumbung blok menara utama Dewan Suarah Negeri, Kuching, siap pada Mei 2026, manakala kerja di Dewan Suarah Sibu dianugerahkan pada Oktober 2026 dan dijangka siap menjelang Ogos 2027.

Cadangan menaik taraf dewan suarah lain, termasuk Fasa 2 Dewan Suarah Negeri, Kuching akan dikemukakan dalam kajian semula pertengahan penggal yang akan datang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU