KUCHING: Sarawak memerlukan 1.2 juta anak benih kelapa bagi mencapai sasaran keluasan penanaman 20,000 hektar menjelang 2030, sekali gus memperkukuh pembangunan industri kelapa di negeri ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, bekalan bahan tanaman yang mencukupi dan diperakui amat penting bagi mempercepat peluasan industri berkenaan.
“Sebanyak 1.2 juta anak benih kelapa diperlukan bagi mencapai sasaran keluasan penanaman 20,000 hektar menjelang 2030.
“Pada masa ini, terdapat lima tapak semaian yang diperakui dengan kapasiti pengeluaran keseluruhan sebanyak 155,600 anak benih setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini hari ini.
Jelasnya, kementeriannya kekal komited meningkatkan kapasiti pengeluaran, mempertingkat produktiviti pekebun kecil serta memperkukuh rantaian bekalan bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat, termasuk pasaran tempatan dan eksport.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), RM14.16 juta diperuntukkan bagi Program Pembangunan Kelapa yang memberi manfaat kepada 1,697 pekebun kecil, dengan kawasan penanaman seluas 2,199 hektar di seluruh Sarawak.
“Hasil usaha berterusan ini, jumlah keluasan penanaman kelapa di Sarawak diunjurkan mencapai kira-kira 10,000 hektar menjelang akhir 2026,” katanya.
Bagi merancakkan lagi peluasan industri berkenaan, program penanaman baharu turut dilaksanakan tahun ini, membabitkan 66 petani di kawasan seluas 87 hektar.
Selain itu, empat lokasi dikenal pasti untuk pembangunan tanaman kelapa, iaitu Taman Agro di Sungai Baji, Asajaya, Bebuling dan Lubok Tamang, dengan jumlah keluasan kira-kira 2,300 hektar.
Rundi berkata, pembangunan taman agro berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi menyokong pengeluaran berskala besar serta memastikan pertumbuhan jangka panjang industri kelapa di Sarawak.
Sementara itu, keluasan penanaman pisang dan durian di Sarawak masing-masing diunjurkan mencapai kira-kira 2,400 hektar dan 10,800 hektar menjelang akhir 2026.
Beliau berkata, sebuah ladang pisang varieti Cavendish seluas 15.7 hektar di Engkilili mampu menghasilkan 250 tan metrik setahun, dengan pendapatan tahunan sebanyak RM875,000, bersamaan kira-kira RM55,000 sehektar.
Di Sungai Bayong, Sarikei pula, sebuah ladang durian seluas 17 hektar menjana anggaran pendapatan tahunan RM500,000 atau kira-kira RM29,000 sehektar, katanya.




