KUCHING: Sarawak dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Nanas Malaysia dari 25 hingga 27 Jun 2027 sempena Hari Nanas Sedunia, yang sekali gus mencerminkan potensi besar negeri ini untuk muncul sebagai hab pengeluaran nanas baharu di Malaysia.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, berkata pembangunan industri nanas Sarawak akan terus dipacu menerusi pelbagai inisiatif penanaman dan pembangunan strategik Taman Agro Dalat di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menurutnya, taman agro seluas kira-kira 814 hektar itu akan memberi tumpuan kepada penanaman nanas, selain membuka peluang kepada komuniti petani tempatan untuk menyertai rantaian nilai industri berkenaan dan menjana pendapatan tambahan.
“Industri nanas dijangka terus berkembang, didorong oleh pertambahan kawasan penanaman, bantuan kerajaan yang bersasar serta peningkatan pelaburan sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Jelasnya, keluasan kawasan penanaman nanas di Sarawak meningkat 42.7 peratus, daripada 1,886 hektar pada 2020 kepada kira-kira 2,690 hektar pada 2025.
Trend peningkatan itu dijangka berterusan, dengan keluasan tanaman diunjurkan mencecah kira-kira 3,300 hektar menjelang akhir 2026.
Bagi memperkukuh daya saing industri berkenaan, tambahnya, kementerian akan terus menggalakkan aktiviti pemprosesan hiliran serta penyertaan sektor swasta untuk meningkatkan nilai tambah produk nanas Sarawak.
“Seorang pelabur swasta sedang melabur kira-kira RM70 juta untuk membangunkan kemudahan pemprosesan nanas bersepadu di Tukau, Miri.
“Sehingga Oktober 2026, pembinaan kemudahan itu mencapai kemajuan 60 peratus, dengan operasi disasarkan bermula menjelang Jun 2027,” ujarnya.
Selain projek berkenaan, lebih banyak kilang pemprosesan nanas dirancang untuk dibangunkan di Mukah, Betong, Samarahan dan Kuching bagi memenuhi keperluan zon pembangunan nanas di negeri ini.
Terdahulu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Program Pembangunan Nanas menerima peruntukan keseluruhan RM54.34 juta daripada kerajaan.
Peruntukan itu memberi manfaat kepada 1,113 pekebun kecil, melibatkan kawasan penanaman seluas 1,372 hektar di seluruh Sarawak, sekali gus menyokong peluasan tanaman nanas dan pembangunan industri berkenaan di negeri ini.



