KUCHING: Industri penternakan babi Sarawak menjana pendapatan eksport RM158.75 juta sepanjang 2026 menerusi penghantaran 109,606 ekor babi hidup ke pasaran luar.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, industri itu kekal sebagai antara penyumbang penting kepada pendapatan eksport negeri, khususnya menerusi pasaran Singapura dan Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, sejak 2017, Kawasan Penternakan Babi (PFA) Pasir Puteh mengeksport lebih 350,000 ekor babi bernilai RM312 juta ke Singapura dengan bekalan yang konsisten, kira-kira 2,500 ekor seminggu.
“Selain itu, sejak 2025 Sarawak turut mengeksport tambahan 500 ekor babi hidup ke Selangor setiap minggu.
“Pada 2026, industri penternakan babi Sarawak menjana RM158.75 juta menerusi eksport 109,606 ekor babi hidup,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Rundi berkata, bagi meningkatkan pengeluaran domestik serta memperkukuh keselamatan makanan, dua kemudahan penternakan berskala besar kini dibangunkan.
Katanya, PFA Selangau seluas 233 hektar dengan pelaburan RM200 juta mempunyai kapasiti pembiakan 12,000 induk babi setahun dan dijangka memulakan pengeluaran pada 2027 sebelum siap sepenuhnya pada 2028.
Sementara itu, Ladang Babi Moden (MPF) Ensengei di Serian, yang dibangunkan menerusi pelaburan swasta RM385 juta, meliputi kawasan seluas 202 hektar.
“Ladang itu menggunakan sistem ternakan tertutup dengan sasaran kapasiti 80,000 ekor babi menjelang 2030, termasuk dilengkapi rumah sembelih moden.
“Fasa pertama yang siap tahun lalu kini menghasilkan antara 700 hingga 800 ekor babi sebulan,” katanya.
Menurut Rundi, pembangunan kedua-dua projek itu selari dengan sasaran Sarawak meningkatkan pengeluaran tahunan kepada 860,000 ekor babi bernilai RM1.5 bilion menjelang 2030.
Pada masa yang sama, kerajaan negeri terus memperkukuh langkah biosekuriti bagi menghalang kemasukan dan penularan Penyakit Kuku dan Mulut (FMD) serta Demam Babi Afrika (ASF).
Katanya, protokol eksport turut dipertingkatkan bagi memastikan penghantaran daging dan ternakan babi ke pasaran serantau dilaksanakan secara selamat dan mampan.



