KUCHING: Sebanyak 10 projek pembangunan infrastruktur penanaman padi berskala besar di Sarawak melibatkan kawasan seluas 3,460 hektar kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat mulai 2027.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, projek itu sebahagian daripada 48 kawasan berpotensi seluas kira-kira 14,000 hektar yang dikenal pasti dan diprofilkan kementeriannya bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan.
Menurutnya, kerja infrastruktur bagi kawasan Tanjung Purun dan Lubok Punggor antara yang dijangka siap pada 2027 sebelum aktiviti penanaman bermula.
“Bagi menyokong penanaman padi berskala besar, kementerian telah mengenal pasti dan memprofilkan 48 kawasan berpotensi melibatkan kira-kira 14,000 hektar.
“Setakat ini, 10 projek dengan keluasan keseluruhan 3,460 hektar berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat mulai 2027,” katanya dalam penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, tujuh daripada projek berkenaan dilaksanakan di tanah kerajaan melibatkan kawasan seluas 2,000 hektar dengan kos pembangunan RM1 bilion.
“Tiga lagi projek dilaksanakan di tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) melibatkan 1,460 hektar dengan jumlah kos RM88 juta, merangkumi RM46 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM42 juta Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Sarawak menanam kira-kira 37,000 hektar padi pada 2025 melibatkan 40,000 pesawah, dengan pengeluaran 78,000 tan metrik padi atau bersamaan kira-kira 47,000 tan metrik beras.
“Dengan penggunaan teknologi baharu, pembangunan infrastruktur, bahan tanaman berhasil tinggi dan penyertaan lebih besar sektor swasta, Sarawak berupaya meningkatkan pengeluaran beras tempatan,” ujarnya.
Tambahnya, sektor pertanian kekal penting kepada keselamatan makanan, pembangunan luar bandar, pekerjaan, pendapatan isi rumah, sumber tanah, eksport serta kesejahteraan rakyat Sarawak.
“Sektor pertanian yang menguncup tiga peratus pada 2021 pulih dengan pertumbuhan 4.3 peratus pada 2025 serta menjadi penyumbang keempat terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak dengan nilai RM15.7 bilion atau 10.2 peratus,” tegasnya.
Sementara itu, katanya, Sarawak memerlukan kira-kira RM2.5 bilion bagi menaik taraf infrastruktur di kawasan skim pengairan dan saliran terkawal sedia ada seluas kira-kira 9,900 hektar yang berpotensi menyokong sasaran 60 peratus Tahap Sara Diri (SSL) beras menjelang 2030.
“Selain kos naik taraf, kira-kira RM60 juta setahun turut diperlukan bagi kerja penyelenggaraan untuk memulihkan serta meningkatkan semula aktiviti penanaman di kawasan tersebut.
“Skim pengairan, saliran terkawal dan kerja kecil yang diurus Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak meliputi kira-kira 9,900 hektar dan mempunyai potensi besar untuk menyokong sasaran 60 peratus SSL beras menjelang 2030.
“Sementara itu, sebanyak 23 projek infrastruktur melibatkan kira-kira 2,997 hektar telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dengan jumlah kos pembangunan RM136.9 juta,” ujarnya.
Katanya, MARDI Sarawak kini menilai 10 varieti padi baharu di Skuduk-Chupak dan Batang Lupar, manakala percubaan bersama Advansia memberi tumpuan kepada varieti tahan kemasinan serta penggunaan baja cecair N25 untuk meningkatkan produktiviti padi bukit.
“Percubaan padi hibrid di Debak, Sarikei dan Tanjung Purun, Lundu menunjukkan hasil memberangsangkan antara lapan hingga 12 tan metrik sehektar, dengan potensi untuk dipertingkatkan ke arah pengkomersialan termasuk penanaman berskala besar dan pengeluaran benih,” katanya.





