KUCHING: Pemberian insentif kepada atlet Sarawak yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026 dijangka disalurkan sebelum akhir tahun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau berharap insentif berkenaan dapat disalurkan menjelang November ini.
“Saya telah memaklumkan perkara berkenaan dalam ucapan penggulungan tadi. Insentif akan diberikan dan saya berharap ia dapat disalurkan sebelum akhir tahun ini.
“Jika boleh, insentif itu disalurkan pada November ini. Jumlah yang diberikan juga sama seperti insentif pada SUKMA ke-21 Sarawak 2024 yang diadakan di Kuching,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, kadar insentif yang diberikan pada SUKMA ke-21 Sarawak 2024 ialah RM15,000 bagi pingat emas, RM10,000 bagi pingat perak dan RM5,000 bagi pingat gangsa.
“Bagi acara individu, kadar insentif ditetapkan berdasarkan pingat yang dimenangi. Namun, bagi acara berpasukan, terdapat formula pengiraan tersendiri dan jumlahnya tidak semestinya sama seperti acara individu.
“Bagi atlet yang berjaya memecahkan rekod, insentif tambahan turut disediakan.
“Apa yang pasti, jumlah keseluruhan insentif yang akan diberikan kepada atlet dijangka melebihi RM1 juta,” ujarnya.
Terdahulu dalam ucapan penggulungan, beliau memaklumkan bahawa pada SUKMA Selangor 2026, kontinjen Sarawak berjaya meraih 41 pingat emas, 40 perak dan 62 gangsa, sekali gus menduduki tempat keempat keseluruhan.
Menurutnya, beberapa sukan menunjukkan prestasi yang sangat membanggakan, antaranya akuatik, berbasikal, taekwondo, silambam dan menembak.
“Bagi menghargai pencapaian cemerlang atlet SUKMA, Kerajaan Sarawak menyediakan insentif berdasarkan pingat yang dimenangi serta kategori acara masing-masing, sama ada acara individu atau berpasukan termasuk tambahan kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod sedia ada.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen teguh Kerajaan Sarawak untuk memberikan penghargaan terhadap kecemerlangan sukan, mengiktiraf dedikasi dan ketekunan atlet, serta menyuntik semangat kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih besar dalam pertandingan akan datang,” jelasnya.
Sementara itu, Abdul Karim menegaskan, persatuan sukan yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan perlu menilai semula keupayaan masing-masing, termasuk kepimpinan.
“Jika seseorang presiden telah memegang jawatan selama 10 tahun tetapi masih gagal mencapai sasaran, sepatutnya dia tahu apa yang perlu dilakukan.
“Meskipun proses pemilihan kepimpinan persatuan dilaksanakan secara demokrasi menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan (TGM), mereka yang gagal menunjukkan prestasi sewajarnya tidak sepatutnya terus memegang jawatan berkenaan,” katanya lagi.





