KUCHING: SJK Chung Hua Sungai Tapang dan SMK Penrissen mengungguli Kejohanan Cabaran Boling Tenpin Antara Sekolah SSC-ABAS-Senator Edisi Keempat 2026 apabila masing-masing merangkul Piala Pusingan Keseluruhan kategori sekolah rendah dan menengah.
Kejohanan selama tiga hari di Megalanes, Emart Batu Kawa itu menghimpunkan 203 peserta yang terdiri daripada murid, pelajar, guru dan tenaga pengajar daripada 43 sekolah serta pejabat pendidikan daerah.

Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai platform penting untuk mencungkil bakat muda, selain memberi pendedahan pertandingan kepada pemain boling peringkat sekolah.
Menurut ABAS, kejayaan kedua-dua sekolah meraih gelaran keseluruhan bukan sekadar hasil kemampuan pemain, malah mencerminkan komitmen guru, jurulatih dan tenaga pengajar sepanjang persiapan serta pertandingan berlangsung.
“Kejayaan ini bukan milik sekolah semata-mata, tetapi turut menjadi hasil dedikasi, kerjasama dan komitmen guru, tenaga pengajar, pelajar serta jurulatih yang menjadikan kejohanan ini begitu bermakna,” menurut kenyataan itu.
ABAS turut menghargai semangat kesukanan yang dipamerkan peserta sepanjang kejohanan, khususnya ketika wakil sekolah menerima trofi kemenangan bersama pemain masing-masing.
“Pertandingan berkenaan bukan sekadar medan memburu kejuaraan, sebaliknya memberi peluang kepada pemain muda menguji kemampuan, membina keyakinan dan menjalin persahabatan menerusi sukan.
“Dengan 34 acara dipertandingkan, kejohanan ini menyediakan platform berharga kepada pemain muda untuk memperoleh pengalaman pertandingan, mencabar kemampuan diri dan membina persahabatan melalui sukan,” menurut kenyataan itu.
Jelas ABAS, setiap penyertaan dan pengalaman dalam pertandingan ialah sebahagian daripada proses pembangunan pemain, tanpa mengira keputusan yang dicapai.
“Setiap balingan adalah peluang untuk memperbaiki prestasi, setiap pertandingan membawa pengajaran dan setiap pencapaian merupakan satu langkah ke hadapan,” menurut kenyataan itu.
Penganjuran edisi keempat itu sekali gus memperkukuh usaha memperluas penyertaan boling tenpin di peringkat sekolah, selain menyediakan asas pembangunan bakat yang berpotensi diketengahkan ke pertandingan peringkat lebih tinggi.





