KUCHING: Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak (PMNS) berjaya mengenal pasti ramai atlet berbakat dan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Himpunan atlet baharu berkenaan dikenal pasti hasil pemantauan yang dilakukan badan induk itu sepanjang tiga hari (16 hingga 18 Oktober) Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10 2026 di NAIM Street Mall Paragon, Bintulu.

Presiden PMNS, Jumaat, berkata kejayaan berganda diperoleh PMNS menerusi penganjuran kejohanan berprestij berkenaan.
Selain menjadi pentas untuk atlet terbabit mengetengahkan bakat mereka, kejohanan itu turut memberi peluang kepada pihaknya mengenal pasti atlet baharu berbakat.
“Menjadi kelaziman bagi PMNS setiap kali menganjurkan kejohanan seperti ini (Piala Premier Sarawak).
“Kita dapat melihat atau mengenal pasti atlet muda berbakat, yang pada dasarnya berpotensi untuk mewakili Sarawak ke temasya sukan dwitahunan negara, Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 dan sebagainya,” kata Jumaat kepada Arena Suara Sarawak.
Jumaat menegaskan pihaknya cukup kagum dengan prestasi atlet muda yang bertanding dalam kejohanan itu.
Menurutnya, mereka jelas bersedia sepenuhnya untuk mengharungi perlawanan melibatkan kategori masing-masing.
“Syabas kita ucapkan kepada semua kelab yang telah berjaya mengasah bakat mereka.
“Saya percaya mereka ini merupakan aset baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi kelak,” kata Jumaat.
Dalam pada itu, Jumaat berkata usaha untuk terus memperkasakan pembangunan sukan Muaythai di Sarawak akan diperhebat pada masa akan datang.
Ia merupakan pendekatan serta kesinambungan terbaik bagi memastikan Sarawak terus melahirkan atlet Muaythai berbakat besar, sekali gus merealisasikan impian menjadikan Sarawak kuasa sukan di negara ini.





