BALI: Malaysia dan Indonesia bersetuju menjalin kerjasama antara agensi di peringkat pelaksanaan bagi menangani isu keselamatan kanak-kanak dalam talian, manakala usaha turut dirancang untuk melibatkan Singapura dalam kerjasama itu.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keselamatan dalam talian, terutamanya membabitkan kanak-kanak, ialah isu penting yang memerlukan perhatian kolektif negara di rantau ini.
“Kami sedang berusaha mengadakan pertemuan trilateral melibatkan Malaysia, Indonesia dan Singapura, Insha’Allah, pada bulan Disember, jika jadual membenarkan,” katanya kepada Bernama selepas pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Meutya Hafid, di sini pada Selasa.
Beliau berkata walaupun negara ASEAN mempunyai undang-undang dan pendekatan pelaksanaan yang berbeza, inisiatif Malaysia, Indonesia dan Singapura boleh menggalakkan negara lain di rantau ini turut serta.
“Kita bukan sahaja mempunyai dasar yang sejajar, tetapi mungkin juga mempunyai beberapa mekanisme yang serupa, walaupun mungkin tidak sama sepenuhnya,” jelasnya.
Fahmi juga menyambut baik niat Meutya untuk mengukuhkan kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia.
Pengalaman MCMC dalam mengendalikan aduan awam berkaitan media sosial juga boleh dimanfaatkan pihak berkuasa Indonesia, tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pembangunan Digital dan Maklumat Singapura Josephine Teo berkata beliau dan Fahmi bertukar pandangan mengenai perkembangan sektor telekomunikasi masing-masing semasa pertemuan tidak rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai pada Isnin.
Dalam hantaran di akaun media sosial rasminya, Teo berkata perbincangan itu termasuk komunikasi selamat kuantum, serta keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak dan golongan muda.
Beliau juga berharap dapat menjadi tuan rumah kepada Fahmi di Singapura dalam masa terdekat.
Teo terserempak dengan Fahmi, yang baru tiba di Bali, semasa menunggu penerbangan pulang ke Singapura selepas menghadiri Bali Tech Week 2026.
Fahmi berada di Bali atas jemputan penganjur untuk menyampaikan ucapan utama di Bali Tech Week.
Beliau turut disertai Timbalan Pengurus Besar MCMC (Pengawal Selia) Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibudden dan Setiausaha Pertama (Ekonomi) di Kedutaan Malaysia di Jakarta, Fakhrul Arifin Mohammad Zulkifly. – BERNAMA





