KUCHING: Kajian biodiversiti di lapan sistem sungai di Sarawak merekodkan kira-kira 80 spesies ikan, termasuk enam spesies Pangasius dan dua spesies yang dikenal pasti sebagai spesies baharu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penemuan itu menjadi asas penting untuk memperkukuh penyelidikan, pemuliharaan biodiversiti akuatik dan pembangunan industri perikanan secara mampan di negeri ini.
Menurutnya, Sarawak mempunyai biodiversiti yang kaya, termasuk spesies yang jarang ditemui di tempat lain serta berpotensi memberikan pulangan ekonomi melalui pembangunan industri berasaskan sumber akuatik.
Beliau berkata, penyelidikan saintifik dan penilaian biodiversiti penting untuk mendokumentasikan spesies tempatan, mengenal pasti potensi ekonominya serta menyokong pengurusan perikanan dan usaha pemuliharaan berasaskan bukti.
“Pada 2026, penyelidikan perikanan darat memberi tumpuan kepada inventori ikan sungai dan penilaian biodiversiti bagi mendokumentasikan spesies air tawar dan air payau tempatan, termasuk komposisi, taburan, kelimpahan dan habitatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak ke-19 di sini hari ini.
Selain spesies ikan air tawar, kajian di persekitaran air payau turut merekodkan lapan spesies bernilai komersial, iaitu terubok laut, terubok sungai, ikan bulu, siakap merah, kerapu, siakap, cupak atau jemuduk serta udang karang.
Rundi berkata, penemuan itu menunjukkan potensi Sarawak untuk membangunkan industri perikanan laut dan akuakultur bernilai tinggi dengan memberi tumpuan kepada spesies yang mempunyai permintaan pasaran serta nilai komersial.
Menurutnya, pembangunan sektor berkenaan boleh membuka peluang ekonomi melalui aktiviti perikanan mampan, akuakultur komersial, penetasan dan pengeluaran benih, pemprosesan makanan laut serta akses kepada pasaran premium.
Sehubungan itu, Jabatan Pertanian Sarawak mencadangkan tapak berpotensi di sekitar Santubong dan Telaga Air untuk menggantikan Pusat Perikanan Darat Samariang Batu yang sedia ada, dengan keluasan 150 hektar.
Pada masa sama, beliau berkata, penyelidikan dan usaha pemuliharaan akan terus diperkukuh bagi melindungi sumber ikan tempatan yang bernilai, khususnya ikan terubok yang menjadi antara spesies ikonik Sarawak.
Katanya, penyelidikan berkenaan turut diperluaskan kepada bidang biologi, genetik, taksonomi, akuakultur dan pemuliharaan spesies terpilih bagi memperkukuh pemahaman saintifik serta meningkatkan kaedah penternakan ikan tempatan.
Antara bidang yang diberi perhatian ialah kajian genom lengkap, pembangunan kumpulan induk, pengeluaran benih, pemeliharaan larva serta teknik penternakan dan penjagaan ikan.
Menurutnya, penyelidikan itu bertujuan membangunkan kaedah akuakultur yang lebih berkesan di samping menyediakan pendekatan praktikal untuk pengurusan mampan dan pemuliharaan spesies ikan tempatan yang mempunyai nilai ekonomi.
Bagi memperkukuh kapasiti penyelidikan dan kepakaran teknikal, Kerajaan Sarawak turut menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), FRI Glami Lemi dan National University of Singapore (NUS).
Kerjasama itu merangkumi kepakaran dalam taksonomi ikan, genetik dan genomik, penilaian biodiversiti, pendokumentasian spesimen, akuakultur serta penyelidikan perikanan.
Rundi berkata, inisiatif berkenaan menyediakan asas saintifik bagi pemantauan biodiversiti jangka panjang, pemuliharaan spesies ikan tempatan dan pemanfaatan sumber akuatik secara bertanggungjawab.
Usaha itu juga diharap dapat menyokong pembangunan industri akuakultur berasaskan sumber perikanan tempatan, tanpa mengetepikan kepentingan pemuliharaan biodiversiti.




