ARTIKEL

Rundi ketika penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, hari ini. Foto: Ghazali Bujang

Tiga taman pertanian berketepatan tinggi siap berperingkat hingga 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tiga taman pertanian berketepatan tinggi yang sedang dibangunkan di Kuching, Miri dan Bintulu dijangka siap secara berperingkat mulai bulan depan hingga suku pertama 2027 bagi meningkatkan pengeluaran makanan menerusi penggunaan teknologi moden.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata projek berkenaan selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang menekankan penggunaan teknologi untuk meningkatkan produktiviti sektor pertanian.

Beliau berkata pembangunan taman pertanian itu merangkumi kemudahan rumah hijau, jalan masuk dalaman, sistem fertigasi serta teknologi Internet Benda (IoT) bagi menyokong amalan pertanian lebih moden dan cekap.

“Setakat September 2026, Taman Pertanian Berketepatan Tinggi Sungai Sebiew di Bintulu mencatat kemajuan fizikal 47 peratus, manakala projek di Kabuloh, Miri mencapai 62 peratus.

“Kedua-dua projek dijadual siap pada suku pertama 2027, sementara projek di Rampangi, Kuching yang meliputi kawasan kira-kira 1.7 hektar telah mencapai kemajuan 68 peratus dan dijangka siap bulan depan,” katanya ketika penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Rundi berkata aktiviti penanaman di Taman Pertanian Berketepatan Tinggi Rampangi dijadual bermula pada Disember tahun ini selepas kerja pembangunan disiapkan.

Katanya, kementerian turut memperuntukkan RM3 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menaik taraf sistem IoT sedia ada di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Rampangi.

“Sistem yang dinaik taraf itu akan merangkumi pemantauan ladang secara masa nyata, fertigasi automatik, analisis menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta analisis ramalan bagi mengoptimumkan pengurusan dan memaksimumkan hasil tanaman dan disasarkan siap pada suku ketiga 2027,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata RM2.95 juta turut diluluskan bagi pelaksanaan Sistem Akuakultur Pintar berasaskan IoT di Sungai Sebiew, Bintulu dan kini berada pada peringkat pelaksanaan, manakala kerja awal penyediaan tapak dijadual bermula bulan ini dan dijangka siap pada awal suku pertama 2027.

Mengenai pembangunan kemudahan lain termasuk rumah hijau dan kolam akuakultur, beliau berkata pembangunan itu dijangka bermula pada suku ketiga 2027 bagi menyokong pengeluaran makanan tempatan.

Dalam pada itu, Rundi berkata projek Kluster Makanan Metropolitan (MFC) mencatat kemajuan fizikal 60.67 peratus setakat September lalu dan disasarkan siap pada Jun 2027.

“Apabila siap kelak, MFC akan memainkan peranan strategik dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pemprosesan makanan serta memperkukuh keselamatan makanan negeri melalui sektor agromakanan yang lebih bersepadu, cekap dan mampan.

“Projek yang dibangunkan dalam dua fasa itu akan menjadi pusat bersepadu pengeluaran dan pemprosesan makanan bagi memperkukuh rantaian nilai pertanian Sarawak,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU