ARTIKEL

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom. Foto Japen

Sarawak teroka bekalan beras dari Sambas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak meneroka potensi mendapatkan bekalan beras dari Sambas, Kalimantan Barat menerusi laluan sempadan Biawak-Aruk sebagai usaha memperkukuh kerjasama pertanian dan perdagangan dengan Indonesia.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, cadangan itu antara bidang kerjasama yang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Sosioekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK MALINDO), dan tertakluk kepada kelulusan kawal selia serta penilaian teknikal berkaitan.

“Kerjasama dua hala itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan tanaman padi, perdagangan beras rentas sempadan serta penyelarasan urusan import dan eksport hasil pertanian yang lebih cekap.

“Sarawak akan terus bekerjasama rapat dengan pihak Indonesia bagi menyelesaikan keperluan kawal selia, memperkukuh rantaian bekalan serta meneroka peluang perdagangan dan pelaburan yang memberi manfaat bersama,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jabatan Pertanian Sarawak turut mempergiat inisiatif menukar sisa pertanian kepada sumber bernilai melalui penghasilan baja kompos organik menggunakan Mikroorganisma Asli Bermanfaat (BIMO).

“Sisa seperti kulit durian, batang pisang, batang jagung dan lebihan nanas diproses menjadi baja organik sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekonomi hijau dan kitaran di Sarawak.

“Percubaan yang dijalankan menunjukkan baja kompos daripada sisa pertanian mampu menghasilkan produktiviti tanaman yang setanding dengan penggunaan baja kimia,” ujarnya.

Tambahnya, usaha berkenaan turut diperkukuh melalui Program Pemerkasaan Industri Lalat Askar Hitam (BSF) bagi pengeluaran protein mampan dan pengurusan sisa yang dilaksanakan oleh Perbadanan Bioekonomi Malaysia. Program itu berjaya menarik 364 peserta.

“Daripada jumlah berkenaan, 20 peserta dipilih mengikuti program bimbingan dan keusahawanan selama tiga bulan, dengan mereka mencatat purata pendapatan tambahan RM1,100 sebulan menerusi penjualan larva dan telur lalat askar hitam kepada syarikat peneraju,” jelasnya.

Mengenai keselamatan biologi, katanya, empat inisiatif pengawasan penyakit ikan serta enam program pemantauan dan pembasmian spesies ikan invasif telah dilaksanakan di sistem sungai utama Sarawak.

Dalam pada itu, katanya, siri Mini Agrofest di Limbang, Pakan, Sebauh, Serian, Kapit dan Dalat serta Sarawak Agrofest 2026 di Bintulu berjaya menarik 2.56 juta pengunjung dengan jumlah jualan RM8.1 juta.

“Program Jualan Agro Sarawakku Sayang yang dianjurkan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di 15 lokasi di seluruh Sarawak pula merekodkan 30,122 pengunjung dengan hasil jualan RM928,416.

“Pelbagai program dan pameran yang dilaksanakan bertujuan meningkatkan keterlihatan produk pertanian Sarawak, merancakkan jualan serta memperluas akses pasaran di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.

BERITA LAIN

Minyak sawit kekal eksport terbesar Sarawak

KUCHING: Eksport minyak sawit Sarawak meningkat kepada 2.6 juta tan bernilai RM11.5 bilion bagi tempoh Januari hingga Ohos berbanding 2.3 juta tan bernilai RM10.3 bilion

BERITA TERBARU

Minyak sawit kekal eksport terbesar Sarawak

KUCHING: Eksport minyak sawit Sarawak meningkat kepada 2.6 juta tan bernilai RM11.5 bilion bagi tempoh Januari hingga Ohos berbanding 2.3 juta tan bernilai RM10.3 bilion