ARTIKEL

Datuk Seri Fatimah Abdullah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini, hari ini.

382 wanita di Sarawak jadi mangsa keganasan rumah tangga tahun lalu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kes keganasan rumah tangga melibatkan wanita di Sarawak meningkat daripada 371 kes pada 2024 kepada 382 kes pada 2025 walaupun jumlah keseluruhan kes di negeri ini menurun dalam tempoh sama.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), peratusan kes keganasan rumah tangga melibatkan wanita turut meningkat daripada 67.2 peratus kepada 71.4 peratus dalam tempoh sama.

“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kes keganasan rumah tangga menurun sebanyak 17 kes, daripada 552 kes pada 2024 kepada 535 kes pada 2025,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Fatimah berkata kementeriannya sentiasa memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keganasan rumah tangga, khususnya dalam aspek pencegahan, perlindungan dan sokongan kepada mangsa.

Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah program Wacana Bestari Cinta Bukan Penderaan di bawah Program Intervensi Sosial Bersepadu Sarawak (ISSIP) Focus 2026 yang diadakan di Sibu pada 21 September dan di Kuching pada 30 September lalu.

Menurutnya, kedua-dua program berkenaan melibatkan seramai 370 peserta dengan penekanan terhadap pemahaman masyarakat mengenai keganasan rumah tangga serta tindakan yang boleh diambil oleh mangsa.

“Selain itu, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) turut melaksanakan Kursus Know Your Rights di Samarahan pada 20 Ogos lalu, manakala program sama dijadualkan berlangsung di Bintulu pada 17 November depan.

“Empat sesi Pocket Talks secara dalam talian turut dirancang sepanjang Oktober ini bagi memperluas penyampaian maklumat berkaitan hak dan perlindungan mangsa,” katanya.

Dalam aspek perlindungan mangsa, Fatimah berkata sebanyak 21 hospital di seluruh Sarawak menyediakan perkhidmatan Pusat Krisis Sehenti (OSCC) menerusi kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Menurutnya, berdasarkan statistik JKNS, sebanyak 2,210 kes dikendalikan melalui OSCC bagi tempoh 2018 hingga 2026, merangkumi rawatan perubatan, sokongan psikososial dan rujukan kepada agensi berkaitan.

Sementara itu, Fatimah turut mendedahkan bahawa Sarawak merekodkan 146 kes rogol, 120 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, 41 kes cabul dan 14 kes liwat bagi tempoh Januari hingga 18 September tahun ini berdasarkan statistik PDRM.

Bagi menangani isu berkenaan, katanya, kementerian melaksanakan program Wacana Bestari dan perbincangan kumpulan fokus (FGD) bersama komuniti di bawah ISSIP Focus 2026 di Miri, Sibu dan Kuching.

“Program yang berlangsung antara September hingga Oktober itu melibatkan seramai 363 peserta, terdiri daripada wakil agensi kerajaan, NGO dan komuniti.

“Dapatan awal program tersebut mengenal pasti beberapa cabaran, termasuk risiko eksploitasi seksual, stigma, kelewatan membuat laporan, ketidakjelasan tindakan awal serta akses kepada perlindungan dan sokongan psikososial mangsa,” katanya.

Beliau berkata maklum balas komuniti yang diperoleh turut digunakan bagi mengenal pasti keperluan intervensi yang lebih berfokus, khususnya untuk memperkukuh peranan agensi kerajaan, keluarga, komuniti dan NGO dalam menangani jenayah seksual.

BERITA LAIN

679 PPS dikenal pasti bagi hadapi Monsun Timur Laut

KUCHING: Sebanyak 679 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh Sarawak sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027, manakala bekalan bantuan keperluan asas turut

BERITA TERBARU

679 PPS dikenal pasti bagi hadapi Monsun Timur Laut

KUCHING: Sebanyak 679 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh Sarawak sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027, manakala bekalan bantuan keperluan asas turut