ARTIKEL

Dr Sim berucap pada penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, hari ini.

470,000 penduduk dilindungi daripada risiko banjir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lebih 470,000 penduduk di kawasan Greater Kuching bakal dilindungi daripada risiko banjir menerusi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandaraya Kuching Fasa Dua bernilai RM2.48 bilion yang dijadual dilaksanakan secara fizikal pada 2027.

Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, projek berskala besar itu melibatkan pembinaan saluran pintasan Sungai Sarawak sepanjang enam kilometer yang bakal melindungi 470,233 penduduk serta kawasan seluas 47,264 hektar apabila siap.

Menurutnya, projek berkenaan antara inisiatif utama di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM2.8 bilion yang diluluskan menerusi Pelan Pelaksanaan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memperkukuh perlindungan banjir di Sarawak.

“Projek RTB bandar raya Kuching fasa dua merupakan pelaburan penting dalam usaha melindungi Kuching daripada ancaman banjir, dengan pelaksanaan fizikal dijadual bermula pada 2027 hingga 2033.

“Bengkel penilaian dan kejuteraan nilai dijadual berlangsung pada awal November ini bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan mengikut perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, tiga pakej lain Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak bernilai RM191 juta dijangka siap antara suku kedua hingga ketiga 2027.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, RTB Sungai Miri dan RTB Daerah Limbang kini sedang dilaksanakan dan kedua-duanya disasarkan siap pada suku pertama 2028.

“Program Ramalan dan Amaran Banjir Fasa Dua dan Tiga pula melibatkan pelaburan RM207.99 juta bagi memperkukuh sistem pemantauan hidrologi Sarawak.

“Sebanyak 254 stesen telemetri baharu akan dibina dan 279 stesen sedia ada dinaik taraf, menjadikan keseluruhan 654 stesen beroperasi di seluruh negeri,” jelasnya.

Mengenai projek yang dibiayai Kerajaan Sarawak di bawah RMK-13, beliau berkata, sebanyak RM265.29 juta diluluskan bagi 45 projek, dengan 18 sedang dibina manakala 27 lagi berada pada pelbagai peringkat reka bentuk dan persediaan perolehan.

“Sejak pelaksanaan Projek Rakyat pada 2018 pula, sebanyak 148 projek bernilai RM1.1 bilion diluluskan dengan 114 siap, 13 dalam pelaksanaan dan 21 dipindahkan ke senarai projek RMK13.

“Sementara itu, sebanyak 4,365 daripada 4,967 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang diluluskan sejak 2015 telah disiapkan, manakala baki 602 projek masih dalam pelaksanaan,” ujarnya.

Beliau menambah, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak turut diamanahkan melaksanakan 77 projek tebatan banjir serta saliran di bawah pelbagai agensi pembangunan wilayah dengan peruntukan RM188.87 juta, melibatkan 25 projek siap dan 52 lagi pada peringkat prapelaksanaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU