KUCHING: Projek Sistem Pembetungan Berpusat Kuching Pakej Dua bernilai RM750 juta kini mencapai kemajuan fizikal 99.60 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku keempat tahun ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, baki kerja projek berkenaan sedang dimuktamadkan, sekali gus membawa pembangunan infrastruktur pembetungan utama di Kuching ke peringkat akhir pelaksanaan.
“Baki kerja sedang dimuktamadkan dengan sasaran projek disiapkan sepenuhnya menjelang suku keempat 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Menurutnya, satu lagi projek di Kuching, iaitu Sistem Pembetungan Berpusat Zon Satu Pakej Tiga bernilai RM382 juta, kini mencapai 85 peratus kemajuan pada peringkat reka bentuk terperinci.
Katanya, proses tender bagi kerja penyiasatan bawah tanah dan ukur topografi telah dimuktamadkan dan kedua-dua kerja berkenaan dijadual bermula bulan ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, reka bentuk Sistem Pembetungan Berpusat Miri Fasa Dua bernilai RM450 juta telah siap, manakala Pakej A yang melibatkan rangkaian pembetung dan penyambungan premis kritikal telah melalui proses tender.
“Pakej A dijangka diserahkan untuk kerja pembinaan pada suku keempat tahun ini, manakala tender Pakej B yang melibatkan Modul Dua loji rawatan kumbahan dijangka dipanggil pada suku kedua 2027,” ujarnya.
Sementara itu, projek Sistem Pembetungan Berpusat Kota Samarahan Fasa Satu bernilai RM650 juta berada pada peringkat reka bentuk kedua dengan kemajuan keseluruhan 25 peratus.
Beliau berkata, bagi projek penyelarasan Sistem Pembetungan Kawasan Tadahan Utara-Selatan di Bintulu bernilai RM225 juta, proses perolehan khidmat perunding kejuruteraan awam dan struktur telah dimuktamadkan, manakala surat setuju terima dijangka dikeluarkan bulan ini.
“Projek penambahbaikan sistem rawatan kumbahan di Uma Bakah, Sungai Asap bernilai RM4.4 juta pula masih menunggu pemuktamadan perjanjian pinjaman Kerajaan Persekutuan.
“Empat projek Loji Rawatan Enap Cemar Tangki Septik di Betong, Sarikei, Kapit dan Limbang dengan kos keseluruhan RM60 juta dijangka memulakan kerja fizikal sepenuhnya pada suku keempat tahun ini,” jelasnya.
Tambahnya, projek loji bagi Sri Aman-Betong kini mencapai kemajuan 21.86 peratus dan dijangka siap pada suku kedua 2027, manakala projek di Limbang pula mencapai 2.87 peratus dengan sasaran siap pada suku ketiga tahun depan.
“Bagi projek di Kapit dan Sarikei, tender telah dibuka pada 22 September lalu dan dijadual ditutup pada 21 Oktober ini,” katanya.



