ARTIKEL

Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

906 rumah mampu milik bakal dibina di enam bahagian Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 906 unit rumah mampu milik bakal dibina melalui 10 projek di enam bahagian Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, projek berkenaan dilaksanakan di Kuching, Samarahan, Betong, Sibu, Mukah dan Limbang bagi memperluas akses kepada perumahan berkualiti pada harga mampu milik, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak menerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan MUTIARA meluluskan peruntukan RM140 juta di bawah RMK-13 bagi melaksanakan pelbagai inisiatif perumahan di negeri ini.

“Peruntukan berkenaan membolehkan HDC melaksanakan 10 projek fizikal melibatkan pembinaan 906 unit rumah mampu milik di enam bahagian Sarawak.

“Rumah mampu milik tersebut akan dibangunkan di atas tanah yang disediakan oleh Jabatan Tanah dan Survei menerusi Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Dr Sim berkata, peruntukan RM140 juta itu turut merangkumi dua projek bukan fizikal, iaitu Pembiayaan Rumah Mampu Milik MUTIARA dan Pengeluaran Hak Milik Strata.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 8,193 permohonan perumahan mampu milik daripada sektor swasta merangkumi semua kategori diluluskan bagi tempoh 2019 hingga September tahun ini.

Katanya, kementeriannya terus bekerjasama dengan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) bagi menggalakkan lebih ramai pemaju swasta terlibat dalam penyediaan rumah mampu milik.

“Pada masa sama, Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Perumahan Sarawak (SHCCM) turut diadakan bagi membincangkan isu perumahan dan mencari penyelesaian bersama agensi kerajaan serta wakil industri,” katanya.

Sementara itu, Dr Sim berkata, Kerajaan Sarawak turut memperkenalkan Program Rumah Spektra Mutiara (RSM)–Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membantu golongan B40 dan M40 membina rumah pertama di atas tanah milik sendiri.

Menurutnya, program itu membolehkan pemilik tanah yang layak mendapatkan pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Rumah Impian MUTIARA, manakala kerja pembinaan dilaksanakan oleh kontraktor berdaftar yang dilantik PBT serta dipantau kementeriannya.

“Sebagai fasa permulaan, MUTIARA telah memulakan projek perintis di kawasan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan kini dalam proses mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) melibatkan kira-kira lapan pemohon,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya turut mengenal pasti kawasan lain yang berpotensi bagi memperluas pelaksanaan program berkenaan.

Mengenai pembiayaan perumahan, Dr Sim berkata, MUTIARA meluluskan 2,622 permohonan bernilai RM234.2 juta bagi tempoh 2016 hingga Ogos tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM153.60 juta disalurkan kepada 2,085 pembeli rumah, dengan kadar faedah tahunan satu peratus bagi golongan B40 dan tiga peratus bagi golongan M40.

“Selain itu, sebanyak 3,493 daripada 3,764 permohonan Skim Bantuan Deposit serta Bayaran Balik Perumahan (HDRAS) diluluskan bagi tempoh 2022 hingga Ogos tahun ini, melibatkan jumlah RM33.89 juta,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU