ARTIKEL

Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Sarawak perlu RM17.26 bilion tingkat kemudahan kesihatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak memerlukan RM8.98 bilion bagi menaik taraf dan membaik pulih hospital serta klinik kesihatan sedia ada, iaitu lebih separuh daripada keseluruhan RM17.26 bilion yang diperlukan untuk meningkatkan kemudahan kesihatan di negeri ini.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, RM8.28 bilion lagi diperlukan bagi pembinaan hospital dan klinik baharu untuk memastikan kemudahan kesihatan Sarawak setanding dengan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, keperluan peruntukan tersebut turut dibangkitkan dalam mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama kepimpinan Kerajaan Persekutuan.

“Sarawak tidak meminta kemudahan kesihatan atau tenaga kerja yang lebih baik daripada Semenanjung Malaysia, sebaliknya hanya mahu mencapai tahap dan piawaian yang setanding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Sim memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menerima peruntukan mengurus sebanyak RM2.91 bilion dan peruntukan pembangunan berjumlah RM552.64 juta daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat 30 September lalu.

Katanya, peruntukan berkenaan disediakan bagi menampung operasi perkhidmatan kesihatan, pembangunan sumber manusia, kerja menaik taraf dan membaik pulih kemudahan berskala kecil serta perolehan peralatan perubatan.

Sementara itu, beliau berkata, Sarawak turut memohon kebenaran Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pengambilan khas bagi mengisi 5,654 kekosongan jawatan di Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

“Jumlah tersebut mewakili 18 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja jabatan berkenaan, sekali gus memperlihatkan keperluan mendesak untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

“Permohonan itu dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat tahunan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kota Kinabalu baru-baru ini,” katanya.

Dr Sim menjelaskan bahawa jumlah kekosongan tersebut belum termasuk keperluan mewujudkan 11,000 jawatan baharu dalam pelbagai kategori bagi memenuhi norma dan piawaian perjawatan KKM.

Katanya, keperluan jawatan tambahan itu dikenal pasti menerusi audit yang dilaksanakan oleh KKM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terhadap tujuh hospital di Sarawak pada 2025.

Beliau berharap Kerajaan Persekutuan memberi perhatian kepada keperluan kemudahan dan tenaga kerja kesihatan supaya rakyat Sarawak mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang setanding dengan Semenanjung Malaysia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU