KUCHING: UNIMAS Holdings bersama firma perunding antarabangsa KPMG telah dilantik sebagai perunding rasmi untuk menjalankan Kajian Pelan Induk Kesihatan Awam Sarawak 2050.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kajian komprehensif yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak ini akan dijalankan dalam tempoh sembilan bulan, bermula Mac tahun ini.
“Pelan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk merapatkan jurang perkhidmatan kesihatan antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
“Justeru, pelan induk ini amat penting bagi menggariskan strategi jangka panjang yang dapat membawa perubahan ketara dalam sistem kesihatan negeri,” katanya dalam sidang media mengenai pelan induk tersebut yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Dr Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata pelantikan UNIMAS Holdings dan KPMG sebagai perunding mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk melibatkan pakar tempatan dan antarabangsa dalam merangka dasar kesihatan yang inklusif dan berpandangan jauh.
“Sebagai sebahagian daripada metodologi kajian, perunding akan melaksanakan lawatan ke pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, organisasi sektor swasta, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan bidang kesihatan.
“Lawatan ini penting untuk mengumpul maklumat yang menyeluruh dan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan. Ia akan membantu membentuk pelan induk yang realistik dan sesuai dengan keperluan sebenar rakyat Sarawak,” katanya.
Tambah beliau, satu tinjauan populasi berskala besar melibatkan 12 bahagian dan 45 daerah di Sarawak akan dilaksanakan sebagai komponen penting dalam kajian tersebut.
“Seramai 7,000 orang akan ditemu bual dalam tinjauan itu yang dijadualkan bermula pertengahan April hingga akhir Julai.
“Kita mahu suara rakyat diambil kira dalam membentuk hala tuju kesihatan negeri. Sebab itu kita adakan tinjauan berskala besar yang melibatkan semua lapisan masyarakat,” ujar Dr Sim.
Menurut beliau, walaupun Sarawak telah mencatatkan banyak kemajuan dalam bidang kesihatan, masih terdapat jurang besar dari segi infrastruktur, perkhidmatan, dan akses kepada penjagaan kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Pelan induk ini adalah strategi untuk mencapai kesaksamaan dalam kesihatan.
“Ia bermaksud, tidak kira sama ada seseorang itu kaya atau miskin, tinggal di bandar atau luar bandar, semua orang berhak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” katanya.
Antara matlamat utama kajian ini adalah untuk merangka kerangka strategik yang menyeluruh bagi mencegah penyakit, mempromosikan kesihatan, dan meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
Selain itu, pelan ini juga akan mencadangkan strategi pelaksanaan, rangka kerja undang-undang dan institusi, serta pelan tindakan sistematik yang menyentuh aspek tadbir urus dan pembangunan infrastruktur kesihatan di seluruh negeri.
Dr Sim berkata, hasil daripada kajian ini akan menjadi asas penting dalam pembentukan dasar dan pelaburan masa depan Kerajaan Sarawak dalam bidang kesihatan awam menjelang tahun 2050.
“Sarawak tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada dasar Persekutuan.
“Kita perlu mempunyai perancangan sendiri yang berasaskan data dan keperluan sebenar rakyat negeri ini,” jelasnya.


