KUCHING: Pelaksanaan projek pembangunan menerusi Belanjawan Sarawak 2027 perlu dipantau secara berkala bagi memastikan peruntukan yang diluluskan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnichal Rayong Ngipa berkata, pemantauan perlu melibatkan penyelarasan antara agensi pelaksana, wakil rakyat dan kepimpinan tempatan, termasuk meneliti kemajuan projek, isu tapak, reka bentuk, perolehan serta penyelenggaraan.
“Belanjawan yang baik memerlukan pelaksanaan yang baik. Dalam konteks pembangunan luar bandar, kepimpinan yang berkesan mesti diterjemahkan kepada keupayaan menyampaikan hasil, bukan sekadar membuat pengumuman.
“Pendekatan ini penting bagi mengurangkan kelewatan, mengelakkan pertindihan serta memastikan wang awam dibelanjakan secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang, Rayong berkata, keputusan terletak di tangan rakyat dan semua pihak perlu menghormati proses demokrasi.
Beliau berharap PRN Sarawak Ke-13 berlangsung secara aman dan matang bagi menjamin kestabilan pentadbiran serta kesinambungan agenda Sarawak Maju Makmur menjelang 2030.
Rayong turut menegaskan kepentingan memastikan pelaburan dalam infrastruktur, pendidikan, ekonomi digital, tenaga hijau dan peluang pekerjaan, selain usaha meningkatkan pendapatan isi rumah, turut memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan seperti Engkilili.


