KUCHING: Kajian Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta (PPP) Sarawak 2026–2035 dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun depan sekali gus membuka lebih banyak ruang pembangunan strategik serta mengukuhkan kerjasama antara sektor awam dan swasta di negeri ini.
Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelan komprehensif itu merangkumi strategi garis panduan institusi dan kaedah pelaksanaan bagi menangani cabaran pembiayaan projek infrastruktur berskala besar.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, hari ini.
Menurutnya, usaha memperkukuh keupayaan kontraktor Bumiputera terus dipergiat melalui program dan skim sedia ada bagi memastikan mereka kekal berdaya saing serta mampu melaksanakan projek berimpak tinggi.
“Setakat ini seramai 456 kontraktor telah berdaftar di bawah Program Kontraktor Berdaya Saing dengan 130 projek bernilai RM79.8 juta diluluskan untuk pelaksanaan.
“Program Peningkatan Usahawan Bumiputera turut diperluaskan kepada kontraktor PKBS yang menawarkan bantuan sehingga RM20,000 kepada setiap peserta dengan 80 individu dipilih sebagai kumpulan pertama tahun ini,” katanya.
Pada masa sama, Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan terus berkembang dengan 25 pusat beroperasi melibatkan 6,119 peserta termasuk dua pusat baharu di Bario dan Beluru yang mula beroperasi sejak Oktober.
Beliau berkata, bagi Skim Pembiayaan Kontraktor Kecil Bumiputera sebanyak 44 kontraktor menerima pembiayaan berjumlah RM6.7 juta sehingga November 2025 meningkat berbanding 46 kontraktor dengan RM5.8 juta pada tahun sebelumnya.
Program Pembangunan Vendor Perabot Bumiputera turut menunjukkan perkembangan positif apabila 34 vendor dilantik oleh STIDC untuk membekalkan perabot pejabat kerajaan bernilai RM5 juta setahun.
Sehingga suku ketiga tahun ini, kontraktor Bumiputera meraih 54.2 peratus atau RM2.7 bilion daripada keseluruhan RM4.97 bilion projek yang dianugerahkan Kerajaan Negeri.
“Kerajaan juga meneruskan penganjuran latihan berasaskan kompetensi latihan umum serta kursus dalam talian melibatkan 110 kursus dengan penyertaan 5,931 peserta setakat November 2025,” jelasnya.
Menurut Uggah, semua inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasa penyertaan Bumiputera dalam sektor pembinaan dan keusahawanan seiring pelaksanaan pelan pembangunan jangka panjang yang sedang dirangka.



