KUCHING: Penyelidikan saintifik dan kertas akademik berkaitan pemuliharaan perlu diterjemahkan kepada dasar awam yang praktikal bagi memperoleh impak bermakna dan berkekalan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, hasil penyelidikan tidak seharusnya terhad kepada jurnal, persidangan atau perbincangan akademik, sebaliknya mesti menjadi panduan dalam penggubalan dasar, perancangan pemuliharaan dan pembangunan mapan.
“Penemuan saintifik tidak seharusnya kekal terhad dalam jurnal akademik atau prosiding persidangan. Begitu juga dengan cadangan daripada persidangan ini.
“Tetapi, mesti membimbing perancangan pemuliharaan, memperkukuh tadbir urus, menyokong pembangunan mapan dan akhirnya diterjemahkan kepada tindakan praktikal yang memberi manfaat kepada manusia serta alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup bagi Persidangan Pemuliharaan Malaysia 2026 di Hotel Imperial, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meluahkan harapan agar persidangan selama tiga hari tersebut akan menghasilkan resolusi saintifik yang dirangka dengan teliti serta cadangan dasar yang praktikal untuk diperhalusi.
Len turut mencadangkan agar resolusi persidangan itu dihimpunkan dalam satu dokumen rasmi dan disokong oleh satu mekanisme pemantauan bagi menilai pelaksanaannya serta mengukur kemajuan yang nyata sebelum persidangan seterusnya diadakan.
Menurutnya, cabaran pemuliharaan melangkaui sempadan negara, justeru kerjasama antarabangsa penting dalam menangani kehilangan biodiversiti, kemerosotan hutan dan perubahan iklim.
Beliau turut mengiktiraf peranan penting masyarakat Orang Asli dan komuniti tempatan, dengan menyatakan bahawa pengetahuan tradisional serta usaha mereka dalam memelihara hutan, sungai dan ekosistem terus melengkapi penyelidikan saintifik dan amalan pemuliharaan moden.
Sementara, Len menyeru agar lebih ramai golongan belia menyertai persidangan pemuliharaan pada masa hadapan.


