ARTIKEL

Abang Johari menyaksikan Abdul Karim menyerahkan bendera kejohanan kepada wakil Kalimantan Timur, Insinyur Husinsyah MT sebagai tuan rumah Sukan Borneo 2027. | Foto: Ramidi Subari

Kalimantan Timur tuan rumah Sukan Borneo 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kalimantan Timur diumumkan sebagai tuan rumah rasmi Sukan Borneo 2027 dan dijangka akan berpusat di Samarinda.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat penganjur yang berlangsung semalam.

“Alhamdulillah, apabila dibentangkan sewaktu mesyuarat, Kalimantan Timur terus menyatakan kesediaan mereka apabila Gabenor sendiri menyuarakan hasrat menjadi tuan rumah.

“Jadi semua bersetuju agar Sukan Borneo 2027 diadakan di Kalimantan Timur,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Sukan Borneo 2025 di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak, malam ini.

Beliau berkata, dengan penentuan awal itu, semua wilayah yang terlibat boleh mula membuat persiapan lebih rapi untuk temasya yang akan berlangsung dua tahun lagi.

“Sukan Borneo mempunyai keunikan tersendiri kerana tidak mengenakan had umur kepada atlet berbanding Sukan Malaysia (SUKMA) yang mengehadkan penyertaan bawah 21 tahun.

“Inilah kebaikan Sukan Borneo.

Mereka yang sudah bersaing dalam SUKMA atau pernah mewakili negeri masih berpeluang menyertai pertandingan ini, malah boleh menjadi persediaan ke Sukan SEA, kejohanan Asia Tenggara dan juga Olimpik,” ujarnya.

Abdul Karim turut menyatakan keyakinan bahawa edisi 2027 bakal lebih meriah kerana Kalimantan Timur berhasrat menjemput bukan sahaja Sabah, Labuan, Brunei dan Sarawak, tetapi juga lima provinsi lain di Kalimantan.

“Bergantung kepada tuan rumah, mereka juga boleh menjemput wilayah, negeri atau negara lain di luar Borneo untuk menyertai Sukan Borneo secara jemputan.

“Semakin banyak penyertaan, semakin kompetitif temasya ini dan seterusnya dapat meningkatkan taraf Sukan Borneo,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU