ARTIKEL

Gambar hiasan

KAMERA AI PERKUKUH AMARAN AWAL KEMUNCULAN BERUANG DI JEPUN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TOYAMA (Jepun): Ketika kemunculan dan serangan beruang terus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti setempat, satu sistem pemantauan berkuasa kecerdasan buatan (AI) muncul sebagai alat penting untuk mencegah pertemuan berbahaya antara manusia dan hidupan liar, lapor Agensi Berita Kyodo.

Sistem berkenaan berupaya mengesan kehadiran beruang secara automatik berhampiran kawasan berpenduduk serta memaklumkan pihak berkuasa tempatan secara masa nyata, sekali gus mengubah pendekatan kerajaan tempatan dalam menangani ancaman beruang.

Teknologi itu menggunakan kamera yang dipasang berhampiran kawasan kediaman bagi memantau pergerakan haiwan dan mengenal pasti beruang sebelum sebarang insiden berlaku.

Sebaik sahaja beruang dikesan, pegawai kerajaan tempatan akan menerima makluman menerusi e-mel, membolehkan amaran dikeluarkan kepada penduduk serta tindakan susulan diambil dengan lebih pantas.

Sistem berkenaan kini diperkenalkan di seluruh negara, termasuk di wilayah Gunma, Toyama dan Ishikawa, susulan peningkatan insiden berkaitan beruang di Jepun.

Dikenali secara rasmi sebagai “AI-Based Automatic Detection and Notification System for Harmful Animals”, platform itu lebih dikenali sebagai “B Alert”.

Sistem itu dibangunkan bersama oleh Hokuriku Electric Power Co. yang beribu pejabat di Toyama dan Hokutsu Co., sebuah syarikat sistem komunikasi berpangkalan di Kanazawa, Wilayah Ishikawa.

Antara kelebihan utama sistem berkenaan ialah keupayaannya mengesan haiwan walaupun di kawasan kurang pencahayaan.

Kamera yang dilengkapi fungsi komunikasi itu dipasang di kawasan pergunungan serta di sepanjang tebing sungai berhampiran kawasan berpenduduk, dan akan merakam imej secara automatik apabila mengesan haba badan haiwan.

Dengan penggunaan kecerdasan buatan berasaskan awan, sistem itu menapis ribuan imej yang dirakam dan memfokuskan pengenalpastian khusus kepada beruang, membolehkan amaran kepada penduduk dikeluarkan lebih 30 minit lebih awal berbanding kaedah konvensional. – BERNAMA-KYODO

BERITA LAIN

Trump siarkan video lelaki maut akibat harimau

WASHINGTON: Presiden AS Donald Trump memuat naik rakaman yang mengemparkan di akaun Truth Social beliau pada Selasa, memaparkan seorang lelaki di Britain yang maut dibaham

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road