ARTIKEL

Kami mahu pulang segera

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 50 rakyat Malaysia termasuk 10 anak Sarawak sekali lagi meminta bantuan segera untuk pulang ke tanah air apabila terkandas di Nigeria sejak 20 Mac lalu susulan perintah berkurung negara itu akibat pandemik Covid-19.

Dalam satu kenyataan kepada Suara Sarawak, rakyat Malaysia terbabit meminta tindakan segera daripada pihak kerajaan untuk membawa mereka pulang ke Kuala Lumpur.

“Kami berharap agar Kerajaan Malaysia membawa kami pulang secepat yang mungkin.

“Dengan gelombang kedua Covid-19 di Beijing, kita tidak tahu bila sempadan negara dibuka dan ia amat menyukarkan kami kerana lapangan terbang seluruh dunia menghentikan operasi masing-masing,” katanya yang enggan mendedahkan nama kerana bimbang perjalanan pulangnya akan terganggu.

Menurutnya, dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia, Suruhanjaya Tinggi Malaysia (MHC) di Abuja bekerja siang dan malam untuk melaksanakan program terbabit.

“Penerbangan pertama sepatutnya pada 31 Mei lalu menggunakan penerbangan sewa Air Peace Boeing 777 dari Lagos ke Kuala Lumpur dengan gabungan kewarganegaraan Asean sebagai pertukaran pulang rakyat Nigeria di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, akibat kelewatan persiapan lapangan terbang Nigeria untuk menerima kepulangan rakyat mereka, penerbangan tersebut ditangguhkan kepada 20 dan 28 Jun,” jelasnya.

Justeru, beliau mempersoalkan kewibawaan Kerajaan Nigeria menyambut kepulangan rakyatnya dalam tempoh 28 hari.

“Berikutan itu, kita meminta agar Kerajaan Malaysia menghantar penerbangan sehala dari Lagos ke Kuala Lumpur.

“Sekiranya kelewatan untuk membawa kami pulang disebabkan oleh rakyat Nigeria terkandas di Malaysia, kita berharap Kerajaan Malaysia boleh mengabaikannya supaya memudahkan rakyat Malaysia pulang terlebih dahulu,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU