KOTA SAMARAHAN: Permohonan pembinaan dewan baharu di Kampung Melaban dikemukakan semula selepas kelulusan projek terdahulu terpaksa dipulangkan berikutan isu tapak pembinaan yang belum dimuktamadkan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, keperluan pembinaan dewan baharu semakin mendesak susulan pertambahan penduduk serta peningkatan aktiviti kemasyarakatan dan belia di kampung berkenaan.

Katanya, tapak projek kini telah dikenal pasti dan disediakan, sekali gus membolehkan permohonan semula dibuat bagi mendapatkan peruntukan yang pernah diluluskan.
“Permohonan dewan ini sebenarnya sudah lama dikemukakan. Projek tersebut pernah diluluskan pada tahun 2024, namun terpaksa dipulangkan kerana isu tapak.
“Kini tapaknya sudah tersedia dan kita sedang berusaha mendapatkan semula kelulusan peruntukan bagi merealisasikan pembinaan dewan baharu untuk kegunaan masyarakat Kampung Melaban,” katanya ketika merasmikan Program Randau Komuniti Bersama Pemimpin dan Sambutan Ngiling Tikai 2026 di Balai Raya Kampung Melaban, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelbagai projek pembangunan berskala besar turut sedang dan akan dilaksanakan di Kota Samarahan termasuk Sistem Transit Aliran Autonomi (ART), pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Tanjung Embang, pelabuhan laut dalam serta penambahbaikan infrastruktur asas yang dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Beliau turut yakin isu berkaitan bekalan air, kemudahan pendidikan dan infrastruktur jalan raya di kawasan Kota Samarahan akan terus diberi perhatian oleh Kerajaan Sarawak bersama wakil rakyat kawasan berkenaan.
Mengenai sambutan Ngiling Tikai, Rubiah berkata ia bukan sekadar acara penutup Gawai Dayak, malah menjadi platform penting memelihara warisan budaya, mengeratkan hubungan masyarakat dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum.
Menurutnya, adat dan budaya yang diwarisi turun-temurun perlu terus dipelihara kerana menjadi asas kepada pembentukan jati diri masyarakat Sarawak yang terkenal dengan semangat toleransi dan keharmonian.
“Ngiling Tikai melambangkan kesyukuran dan kebersamaan masyarakat. Program seperti ini memberi ruang kepada rakyat untuk berkumpul, bertukar pandangan serta mendapatkan maklumat tepat mengenai pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji inisiatif Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menganjurkan Program Randau Komuniti yang disifatkan sebagai medium berkesan untuk menyampaikan maklumat pembangunan secara terus kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Rakyat memerlukan akses kepada maklumat yang sahih supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang sering tersebar di media sosial,” tegasnya.
Program Randau Komuniti Bersama Pemimpin dan Sambutan Ngiling Tikai 2026 dianjurkan bersama UKAS, Pusat Khidmat Parlimen Kota Samarahan, Pusat Khidmat DUN Muara Tuang dan JKKK Kampung Melaban. Program itu turut dimeriahkan dengan sesi randau komuniti, penyampaian maklumat pembangunan serta aktiviti kebudayaan sempena sambutan Ngiling Tikai 2026.
Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang, Datuk Idris Buang; Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali; Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang; wakil Pegawai Daerah Samarahan, Lim Kiew Leng; dan Ketua Kaum Kampung Melaban, Jemat Abak.



