ARTIKEL

DR. RICHARD ketika meninjau kesan kebakaran di Kampung Tuie di sini, hari ini.

Kampung Pedalaman Jadi ‘Perangkap Maut’ Kebakaran

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu menggesa tindakan segera dan konkrit bagi menangani risiko kebakaran di kawasan luar bandar yang masih kekurangan perlindungan keselamatan mencukupi, termasuk cadangan penyediaan pelan khas keselamatan kebakaran.

Menurut beliau, penduduk di luar bandar berhak mendapat tahap jaminan keselamatan yang setara dengan kawasan bandar.

Tegas beliau, pihak berkuasa tidak seharusnya menunggu sehingga berlakunya tragedi besar sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

“Hakikatnya, kita tidak boleh menafikan bahawa setiap kali kebakaran berlaku di kawasan pedalaman, isu yang sama akan berulang seperti bantuan lewat tiba, kekurangan peralatan asas, ketiadaan pasukan respons awal di peringkat komuniti serta tekanan air rendah.

“Sehubungan itu, saya mendesak tindakan segera dan konkrit, bukan sekadar pengumuman. Kerajaan mesti mempercepatkan penubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bagi komuniti di kawasan berisiko tinggi.

“Selain itu, satu pelan khas keselamatan kebakaran luar bandar perlu diwujudkan untuk dilaksanakan dengan pemantauan berkala,” katanya kepada Suara Sarawak semasa menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Tuie, hari ini.

Jelasnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu menambah aset, logistik dan kehadiran anggota atau sukarelawan di kawasan pedalaman supaya tidak hanya tertumpu di bandar.

DR. RICHARD menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Tuie di sini, hari ini.

Beliau menambah bahawa jurang perkhidmatan yang ketara antara kawasan bandar dan luar bandar mesti dirapatkan dengan kadar segera.

“Justeru sekali lagi saya mencadangkan penubuhan PBS secara wajib di kawasan berisiko tinggi tanpa berlengah.

“Sediakan peralatan pemadam api dan sumber air kecemasan di setiap kampung, di samping memberikan latihan keselamatan kebakaran secara berkala dengan penglibatan penduduk.

“Dalam masa sama, saya menyeru masyarakat agar tidak mengambil mudah aspek keselamatan dengan memastikan penggunaan elektrik adalah terkawal serta selamat.

“Elakkan kecuaian ketika memasak terutama pada musim perayaan, gunakan pelita dan sumber api dengan berhati-hati serta sentiasa bersedia dengan pelan kecemasan keluarga.

“Sesungguhnya saya memandang serius kejadian kebakaran yang berlaku sempena musim Aidilfitri, khususnya di kawasan luar bandar yang jauh dari capaian perkhidmatan kecemasan seperti yang terjadi di Kampung Tuie Pusa pada 2 Syawal lalu,” ujarnya.

Realitinya kata Dr. Richard, masih banyak kampung di pedalaman yang terpaksa berdepan risiko kebakaran tanpa perlindungan mencukupi.

“Isu jarak yang jauh dari balai bomba dan penyelamat bukan alasan untuk kelewatan tindakan memandangkan ini adalah isu keadilan kepada rakyat luar bandar.

“Saya ingin tegaskan bahawa keselamatan bukan satu keistimewaan, sebaliknya merupakan hak asas setiap rakyat tidak kira di bandar mahupun di pedalaman.

“Jika kita benar-benar serius dalam membangunkan negeri dan membela rakyat, maka isu keselamatan asas seperti ini tidak boleh terus dipandang ringan.

“Tuntasnya, jangan biarkan setiap sambutan Aidilfitri diselubungi dengan tragedi yang sama,” tegasnya.

Beliau yang hadir menziarahi mangsa kebakaran turut menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang terjejas.

Pada 22 Mac lalu, kejadian kebakaran melibatkan tiga buah rumah dilaporkan berlaku dengan sebuah rumah musnah sepenuhnya manakala dua lagi mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama