PUTRAJAYA: Kampung Pendam, Sadong Jaya dipilih sebagai lokasi pelaksanaan dan peluncuran Program Kampung Angkat MADANI (KAM) serta Sekolah Angkat MADANI (SAM) Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Tahun 2026, mencerminkan komitmen jabatan itu dalam memperkasa komuniti luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Majlis peluncuran program berkenaan dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini di Kampung Pendam. Pelaksanaan KAM memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti di kampung tersebut, manakala Sekolah Kebangsaan Kampung Pendam dipilih sebagai penerima manfaat Program SAM.
Menurut JPPM, pemilihan Kampung Pendam sebagai lokasi pelaksanaan program adalah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pendekatan pembangunan secara menyeluruh melalui kerjasama antara kerajaan, komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan.
“Penganjuran Program KAM dan SAM JPPM Tahun 2026 mencerminkan komitmen JPPM dalam menyokong usaha memperkasa komuniti, meningkatkan kesejahteraan penduduk serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk generasi muda,” menurut kenyataan itu.
Menurut JPPM, sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi menjayakan kedua-dua program tersebut yang akan disalurkan kepada pelbagai projek penambahbaikan melibatkan kemudahan asas, keselamatan dan keselesaan komuniti, selain peningkatan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Kampung Pendam.
JPPM berkata pelaksanaan KAM dan SAM di Kampung Pendam bukan sahaja memberi manfaat dari aspek fizikal, malah menjadi pemangkin kepada penglibatan komuniti dalam memastikan pembangunan setempat dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Pendekatan ini memperlihatkan konsep Whole of Government dengan menggabungkan kepakaran dan sumber pelbagai pihak bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan komuniti,” katanya.
Bagi memastikan kelancaran majlis peluncuran, Ketua Pengarah JPPM, Dato’ Mohd Zulfikar Ahmad, mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Majlis Peluncuran Program KAM dan SAM JPPM Tahun 2026 pada 24 Julai lalu di Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Samarahan.
Mesyuarat tersebut memuktamadkan persediaan melibatkan penyelarasan agensi terlibat, persiapan lokasi, atur cara majlis, aspek keselamatan, protokol, pembahagian tugas serta pelaksanaan raptai.
JPPM turut memaklumkan pelbagai aktiviti komuniti akan diadakan sempena majlis peluncuran itu, termasuk Jualan RAHMAH MADANI, pameran agensi kerajaan, kaunter perkhidmatan bergerak, pemeriksaan kesihatan, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai Majlis Peluncuran Program KAM dan SAM JPPM Tahun 2026 menerusi platform media sosial rasmi JPPM.



