MIRI: Keseronokan tiga sahabat mandi-manda di Pantai Lutong di sini, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka, kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, ditemukan maut dibawa arus deras petang semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.36 petang daripada orang awam.
“Mangsa yang merupakan murid tahun empat di salah sebuah sekolah rendah di sini mandi bersama dua rakannya sebelum hilang dibawa ombak.
“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata dua rakannya terselamat dan kes ini kini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Husaini Amin di talian 019-8889530 atau Balai Polis Lutong di talian 085-655202.
Mohd Farhan turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kejadian itu.
“Ibu bapa dan penjaga disaran memantau anak-anak yang melakukan aktiviti di pantai, terutamanya ketika cuaca tidak menentu kerana keadaan laut berisiko dengan ombak besar dan angin kencang,” tegasnya.



