MUKAH: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu, ditemukan selamat di kawasan hutan lebih 50 meter dari kawasan Rumah Lang Nanga Meruan Dijih, Selangau, hari ini.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhammad Rizal Alias berkata, kanak-kanak tersebut ditemukan lebih kurang 9.55 pagi.

“Kanak-kanak yang berusia 12 tahun itu ditemukan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (OP SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan dibawa ke Klinik Kesihatan Selangau untuk pemeriksaan lanjut.
“Dengan penemuan tersebut, OP SAR yang diaktifkan sejak 8 pagi tadi ditamatkan pada 10.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu mengesan orang hilang (OH) berkenaan.
Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah meminta bantuan dan kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang.



