BINTULU: Empat individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan setelah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang membawa muatan sawit, di persimpangan Jalan Bakun, Bintulu-Miri pagi tadi.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu berkata, pihaknya telah menerima panggilan mengenai kejadian kemalangan jalan raya tersebut sekitar jam 6.12 pagi, dan bertindak segera ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan sebuah lori yang membawa muatan sawit.
“Kesemua mangsa terlibat termasuk seorang kanak-kanak lelaki, wanita warga emas, dan dua lelaki di dalam kenderaan tersebut bagaimanapun telah berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua mangsa yang telah dikeluarkan kemudian menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan yang bertugas di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Selepas itu, PKO bertindak membersihkan sisa-sisa kemalangan serta membantu mengalihkan kenderaan pacuan empat roda di bahu jalan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, dan operasi ditamatkan pada jam 7.30 pagi.


