KUCHING: Usaha mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak penghidap kanser di Sarawak diteruskan menerusi penganjuran Move For Gold 2026 yang bakal berlangsung dari 3 hingga 5 Julai depan di The Hills dan Pullman Kuching.
Program sempena ulang tahun ke-25 Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) itu menggabungkan aktiviti kecergasan, kesejahteraan dan kemasyarakatan, selain memperkenalkan Buku Kupon Pengumpulan Dana (Fundraising Booklet) bernilai RM100 bagi menyokong program dan perkhidmatan yang disediakan kepada pesakit kanser kanak-kanak serta keluarga mereka.
Menurut kenyataan penganjur, Buku Kupon Pengumpulan Dana RM100 merupakan antara inisiatif utama festival tersebut dengan hasil kutipan disalurkan sepenuhnya kepada SCCS bagi membantu kanak-kanak yang menghidap kanser dan keluarga mereka.
Buku kupon itu boleh ditebus secara eksklusif pada 5 Julai, sekali gus membolehkan pemegangnya menikmati pelbagai aktiviti, pengalaman serta tawaran daripada rakan kerjasama dan vendor yang mengambil bahagian.
Antara aktiviti yang ditawarkan termasuk sesi Pilates dan yoga, cabaran kecergasan, aktiviti kolam keluarga, seni dan kraftangan kanak-kanak, saringan kesihatan, pengalaman pemulihan dan rehabilitasi, ceramah kesejahteraan, sesi terapi bunyi (sound bath) serta aktiviti swim-to-donate yang menggalakkan gaya hidup sihat dan penglibatan komuniti.
Selain itu, festival berkenaan turut menampilkan pelbagai program menarik seperti GoBald 2026, Golden Loop Fun Walk/Run 5KM, pendermaan darah dan saringan kesihatan, Cabaran LaVie Cold Plunge, Cabaran Mini Jungle Warrior, Cabaran CrossFit, permainan kolam keluarga dan Busy Goose Market 3.0 yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Dalam pada itu, dana yang dikumpulkan menerusi Move For Gold 2026 akan membantu SCCS meneruskan usaha menyediakan sokongan kepada kanak-kanak yang didiagnosis menghidap kanser dan keluarga mereka di seluruh Sarawak.
Sebagai satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang memberi tumpuan khusus kepada sokongan kanser kanak-kanak, SCCS memainkan peranan penting dalam meringankan cabaran kewangan, emosi dan praktikal yang dihadapi keluarga sepanjang tempoh rawatan.
Sumbangan yang diterima membantu membiayai bantuan perubatan dan rawatan, menyediakan penginapan melalui kemudahan rumah transit SCCS bagi keluarga dari luar kawasan, selain menyokong perkhidmatan kaunseling dan bantuan emosi untuk pesakit serta ahli keluarga mereka.
Dana tersebut turut membolehkan SCCS melaksanakan program bantuan kebajikan keluarga, program kesedaran dan inisiatif advokasi bagi meningkatkan sokongan terhadap kanak-kanak yang sedang berjuang melawan kanser.
Move For Gold 2026 dianjurkan oleh Defy Lab Sdn Bhd dengan kerjasama strategik Interhill Group, The Hills dan Pullman Kuching. Program itu turut mendapat sokongan Mubadala Energy sebagai Penaja Utama serta Ibraco Berhad sebagai Rakan Festival Kesihatan dan Kesejahteraan.
Sehubungan itu, penganjur menggalakkan orang ramai, organisasi korporat dan kumpulan komuniti untuk menyokong inisiatif tersebut dengan membeli Buku Kupon Pengumpulan Dana RM100 serta mengajak lebih ramai pihak untuk turut sama menyumbang.
Setiap buku kupon yang dibeli layak mendapat pelepasan cukai, manakala 100 peratus hasil kutipan akan disalurkan terus kepada SCCS bagi menyokong program serta perkhidmatan untuk kanak-kanak penghidap kanser dan keluarga mereka.
Orang ramai yang ingin membeli Buku Kupon Pengumpulan Dana RM100 boleh berbuat demikian menerusi pautan https://defylab.co/package/d4241b0b-dc39-4977-90ed-b3c524646bb6 atau menghubungi DefyLAB Studio di talian +6012-693 7872.
Mereka yang berminat untuk mendaftar kelas, sesi kesejahteraan dan ceramah sempena Move For Gold 2026 boleh berbuat demikian menerusi pautan https://defylab.co/class?classCategory=08dec548-75cc-4708-8809-65ae0ee18012.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Move For Gold 2026, orang ramai boleh melayari pautan https://moveforgold.defylab.co/moveforgold.


