KUCHING: Seorang penagih dadah dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah kenderaan pacuan empat roda pada 11 Mac lalu.
Tertuduh, Zulhaire, 46, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di hadapan sebuah kedai dobi di Jalan Stutong kira-kira jam 7.30 pagi, 11 Mac lepas.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan seorang lelaki berusia 49 tahun mendapati kenderaan milik syarikatnya yang diletakkan di hadapan sebuah kedai dobi telah hilang dipercayai dicuri.
Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki melarikan kenderaan berkenaan bersama barangan berharga di dalamnya.
Laporan polis yang dibuat kemudiannya membawa kepada penangkapan tertuduh di sebuah hotel bajet di Tabuan Tranquility pada hari yang sama kira-kira jam 3.00 petang.
Siasatan lanjut mengesahkan perbuatan tertuduh melalui rakaman CCTV selain ujian saringan awal air kencing mendapati tertuduh positif dadah jenis syabu.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di bawah seksyen sama melibatkan kecurian sebuah kenderaan jenis Toyota Pajero milik sebuah syarikat pembinaan, dua tahun lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di belakang sebuah kedai makan 24 jam kira-kira jam 9.40 pagi pada 5 Disember 2024.
Majistret Ling Hui Chuan menetapkan 22 April 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian dan Pegawai Pendakwa Nurshafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



