ARTIKEL

Abang Johari (kanan) menerima Laporan Pelan Induk (Masterplan) Kapit pada Majlis Merarau Bersama Komuniti Kapit di sini hari ini | Foto: UKAS

Kapit Sebagai Bandar Hijau Global, Arah Pembangunan Bandar Pejalan kaki

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KAPIT: Kapit berpotensi untuk dibangunkan sebagai bandar mesra alam kerana kedudukannya yang strategik di tengah-tengah kawasan pedalaman Sarawak dan masih dalam peringkat awal pembangunan.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan perancangan rapi Kapit mampu muncul sebagai antara bandar terbaik di dunia. Pembangunan awal memberikan ruang untuk perancangan lebih teratur dan berpandangan jauh.

“Kapit berbeza daripada bandar-bandar lain di Sarawak. Saya pernah membawa seorang pakar dari Norway, Profesor Han yang datang ke Kapit dan mendedahkan daerah ini sangat cantik.

“Namun beliau mencadangkan supaya Kapit dibangunkan sebagai sebuah bandar pejalan kaki. Maksudnya tidak banyak kenderaan bermotor sebaliknya lebih banyak berjalan kaki kerana dunia hari ini menuntut kawasan yang mesra alam dan hijau.

“Jadi memandangkan Kapit masih di peringkat awal pembangunan kita boleh merancangnya dengan lebih teratur untuk dijadikan bandar mesra alam bertaraf dunia. Siapa tahu suatu hari nanti, Kapit boleh menjadi antara bandar terbaik di dunia asalkan kita merancang dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Merarau Bersama Komuniti Kapit, di sini hari ini.

Abang Johari turut mencontohkan kejayaan Muzium Budaya Borneo (BCM) di Kuching yang kini menduduki kedudukan teratas dalam senarai undian dalam talian global di laman web Museum World Ranking.

“Siapa sangka BCM kini diiktiraf antara yang terbaik di dunia. Dahulu saya ke Louvre Museum di Paris untuk belajar ketika diminta membina muzium baharu. Kini muzium kita sendiri menjadi rujukan dunia.

“Dan jika kita membangunkan Kapit yang sememangnya unik dari segi alam semula jadinya dan berbeza daripada tempat lain, Kapit boleh menjadi antara bandar mesra alam terbaik di dunia serta tersenarai dalam senarai bandar hijau dunia.

“Kalau ini berlaku ramai akan datang ke Kapit dan secara tidak langsung ekonomi setempat akan meningkat,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, Sarawak perlu mempunyai pelan pembangunan jangka panjang yang berpandangan jauh kerana Kapit masih baharu membangun.

“Apabila kita merancang dari awal pembangunan dapat dijalankan dengan lebih tersusun.

“Kita mesti memposisikan diri supaya dunia mengenali kita bukan sahaja kerana kemajuan ekonomi tetapi juga kerana cara kita membangunkan negeri ini dengan pendekatan lestari,” katanya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU