PROFESOR Michael Leigh sebenarnya bukan nama asing di Sarawak.
Beliau memulakan penyelidikan di Sarawak sejak akhir 1962, ketika sebahagian besar penduduk Sarawak masih belum lahir lagi.
Buku beliau yang terkenal dan wajib dibaca oleh pelajar sains politik dan individu yang menganggap diri mereka sebagai ahli dan pemimpin politik ialah The Rising Moon: Political Change in Sarawak.
Buku ini amat bermanfaat jika anda mahu tahu tentang perkembangan politik dan penubuhan parti politik pada peringkat awal di Sarawak.
Pada majlis pelancaran biografi Abang Johari: Sarawak’s First Premier, Michael Leigh mengakui, apabila diminta menulis biografi politik berkenaan, beliau berkata, tidak, dan sekali lagi berkata tidak, malah terus tetap berkata tidak.

“Mengapa saya harus menulisnya?
Kerana Dr Roosfa telah pun menerbitkan Perjalanan Politik Abang Johari: Premier Sarawak, dan kini buku terbaharu Dato Dr Jeniri Amir, Shaping Sarawak, juga telah diterbitkan.
Apa lagi yang boleh saya sumbangkan kepada karya ilmiah yang telah mereka hasilkan?” kata beliau dalam ucapan yang memikat audiens.
Setakat ini, tiga biografi tentang Abang Johari telah dihasilkan.
Biografi terbaharu ialah Rise of Sarawak: Abang Johari’s Era of Transformation karya bersama Lian Cheng, Marlynda Meraw, dan Antonia Chiam.
Namun, Michael Leigh mengakui selepas beberapa perbualan dengan Pemegang Amanah Pengurusan Yayasan Kebudayaan Dayak dan Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Jugah, beliau sedar bahawa Abang Johari memiliki satu keistimewaan.
“Beliau (Leonard Linggi) mampu menukar “tidak” saya yang paling tegas menjadi “baiklah”.
Sejak itu, rasa ingin tahu dan semangat saya terdorong oleh keperluan untuk memahami apakah yang menjadikan Premier begitu berbeza daripada Ketua Menteri yang memimpin negeri selama 44 tahun, dari 1970 hingga 2014,” hujah Michael Leigh.
Esok merupakan ulang tahun kesembilan Abang Johari menjadi Premier Sarawak, satu tempoh yang relatif singkat.
Namun dalam waktu yang singkat itu, beliau bukan sahaja telah mengukir nama bagi dirinya, tetapi meletakkan Sarawak di persada dunia.
Beliau kian dikenali di rantau ini dan di peringkat dunia. Seorang negarawan yang sangat dihormati atas ketajaman kepimpinan visi dan pandangan jauhnya.
Abang Johari pemimpin yang berintegriti tinggi, bijaksana, belas kasihan, imaginatif serta pendukung teguh tadbir urus yang inklusif dan progresif.
Beliau seorang pemaaf dengan memaafkan musuh politiknya ketika zaman gelora susulan pertandingan dalam parti di bawah kepemimpinan Tun Abdul Taib Mahmud puluhan tahun lalu.
Malah, mereka ini diberi tempat untuk menerajui organisasi tertentu.
Beliau berjiwa besar dan bukan pendendam.
Tidak keterlaluan untuk mengkategorikan beliau sebagai pemimpin yang hadir sesuai dengan zaman baharu dengan cabaran dan tuntutan baharu, sekali gus menjadikan pandangan dan dasarnya begitu relevan.
Pada awal kemunculannya, tidak dinafikan memang ada yang meragui.
Malah, ketika beberapa nama disebut untuk menggantikan Tun Taib suatu ketika dahulu, nama beliau bukan berada di papan atas, sebaliknya dilindungi oleh beberapa nama lain.
Kini, mereka yang skeptis, perlu menelan kata-kata dan keraguan itu.
Mereka perlu menelan pil pahit.
Tindakan, bukan kata-kata yang menjadi bukti daya kepemimpinan beliau yang terbilang dan unggul, dengan idea dan inisiatif yang melangkaui politik pembangunan Tun Taib.
Ketika mengulas untuk banyak stesen TV pada 2017, saya menyatakan di hadapan jutaan penonton, Abang Johari perlu mengisi kasut besar yang ditinggalkan oleh Tun Taib dan Pehin Sri Adenan Satem.
Saya juga menyatakan, beliau ialah harapan baharu Sarawak.
Tetapi, terus terang, kasut yang bakal ditinggalkan oleh Abang Johari adalah jauh lebih besar daripada kasut yang ditinggalkan oleh dua pemimpin berkenaan.
Sesiapa yang menggantikan beliau suatu hari nanti, pasti berdepan cabaran besar untuk mengatasi pencapaian beliau dari banyak segi. Abang Johari tidak mengecewakan sekitar tiga juta rakyat Sarawak.
Lebih daripada 139 dasar dan inisiatif yang dilaksanakannya, bersifat inklusif, dan membawa kesan langsung dan mendalam kepada rakyat.
Abang Johari mampu membentuk masa depan Sarawak melalui visi yang jelas, pandangan jauh, dasar yang merakyat, serta keberanian memperkenalkan inisiatif baharu yang selari dengan tuntutan zaman.
Kepimpinan sedemikian lahir daripada kefahaman mendalam terhadap realiti semasa dan keupayaan menjangkakan cabaran masa depan.
Beliau dilihat sentiasa bertenaga, dinamik, proaktif dan berfikir di luar kotak.
Tidak hairanlah sampai Khairy Jamaluddin menyifatkan, dari segi politik, Abang Johari ialah supremo nombor satu, bukan hanya di Sarawak, tetapi juga di Malaysia.
Malah, tidak melampau untuk menyatakan, beliau layak menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Sebagai menghargai sumbangan dan pencapaiannya, Abang Johari menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan dari dalam dan luar negara, termasuk The Order of the Rising Sun oleh Kerajaan Jepun.
Anugerah ini merupakan antara penghormatan tertinggi yang dikurniakan oleh Kerajaan Jepun kepada tokoh di luar negara yang banyak menyumbang kepada hubungan dua hala dan pembangunan sejagat.
Beliau pentakrif masa depan Sarawak, serta pemimpin transformatif dan reformasi yang sebenarnya yang mengubah nasib rakyat dan masa depan Sarawak.
Beliau yang dilahirkan di Limbang pada 1950 itu dan kini ADUN Gedong dan Pengerusi GPS, mempunyai gambaran jangka panjang tentang hala tuju Sarawak.
Slogan Sarawak Maju Makmur dan gagasan ‘Utamakan Sarawak’ bukan slogan dan gagasan kosong, tetapi matlamat realistik dan dapat dicapai, disokong oleh perancangan dan tindakan strategik.
Abang Johari memahami trend global seperti perubahan iklim, kemajuan teknologi, demografi, dan geopolitik, lalu merangka dasar yang melindungi kepentingan jangka panjang rakyat.
Keupayaan ini menuntut keterbukaan terhadap ilmu, dan kesediaan belajar daripada sejarah serta pengalaman negara lain.
Sesungguhnya, kepimpinan Abang Johari sering dicirikan oleh visi jangka panjang, pragmatisme ekonomi, dan fokus kepada autonomi negeri.
Beliau menekankan pembangunan berasaskan kekuatan Sarawak sendiri, khususnya dalam sektor tenaga, teknologi, dan sumber asli.
Di bawah kepemimpinannya, Sarawak memacu agenda ekonomi digital, memperluas infrastruktur Internet luar bandar, serta menggalakkan pendidikan STEM bagi melahirkan modal insan masa depan.
Melalui hasil negeri dan bajet besar melebihi RM10 bilion dalam lima tahun terakhir, beliau komited merapatkan jurang ekonomi, menghapuskan kemiskinan, merapatkan jurang bandar dan luar bandar, dan seterusnya membawa Sarawak ke hadapan sebagai negeri maju, makmur, dan lestari.
Hasil dan bajet Sarawak di bawah kepemimpinan Abang Johari, mencatat rekod baharu Sarawak berbanding manamana negeri di Malaysia.
Tiada negeri lain, termasuk negeri maju seperti Selangor dan Pulau Pinang, mampu mengalahkan Sarawak dari segi ini.
Sarawak dan masa depan rakyat dijamin selamat di bawah kepemimpinan Abang Johari.
Abang Johari juga dikenali dengan pendekatan inklusif dan merakyat, memberi perhatian kepada pembangunan luar bandar melalui jalan raya, bekalan air, elektrik, dan perumahan.
Usaha menegaskan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 mencerminkan pandangan jauhnya dalam memperkukuh kedudukan negeri dalam Persekutuan.
Inisiatif tenaga boleh baharu seperti hidrogen dan tenaga hijau serta ekonomi baharu, memperlihatkan kesediaannya menyesuaikan dasar dengan keperluan zaman.
Abang Johari, bagi saya, berani berinovasi, memanfaatkan teknologi digital, dan menyokong ekonomi baharu berasaskan pengetahuan.
Beliau dengan berani, komitmen padu, dan visi jelas berteraskan kepimpinan yang hebat berpaksikan nilai integriti, empati, dan keberanian moral membawa Sarawak ke hadapan.
Pemimpin yang benar-benar unggul meninggalkan legasi bukan pada tempoh pemerintahannya, tetapi pada kekuatan institusi, kesejahteraan rakyat, dan keyakinan generasi akan datang terhadap masa depan.
Inilah ciri pemimpin yang relevan dan diperlukan dalam dunia moden yang membawa Sarawak ke era baharu melalui pelbagai inovasi dan transformasi serta dasar merakyat yang dilaksanakannya.
Kita mengharapkan lebih banyak idea dan inisiatif baharu dan pragmatik daripada Abang Johari, ketika Sarawak terus melangkah dengan bergaya ke hadapan.
• Dato Dr Jeniri Amir telah mengamati perjuangan dan perjalanan politik Datuk patinggi Abang Johari sejak awal 1980-an dan banyak menulis tentang kepemimpinan beliau.


